Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mi Tikus, sajian unik tapi enak di Perak

May 5, 2025 | 2:41 PM
Mualaf, Encik Redzuan Ooi Abdullah, 52 tahun, (kiri) berkata mi tikus diperbuat daripada mi laksa pendek yang digoreng bersama beberapa bahan seperti bawang, telur, udang dan kicap (gambar kecil).
Mualaf, Encik Redzuan Ooi Abdullah, 52 tahun, (kiri) berkata mi tikus diperbuat daripada mi laksa pendek yang digoreng bersama beberapa bahan seperti bawang, telur, udang dan kicap (gambar kecil). - Foto BERNAMA

IPOH (Perak): Mi tikus, namanya saja sudah cukup unik untuk mencetuskan tanda tanya.

Namun di sebalik nama ganjil itu, menu yang dimasak penuh kasih sayang oleh seorang mualaf, Encik Redzuan Ooi Abdullah, 52 tahun, menjadi tarikan pengunjung pelbagai kaum sejak beberapa tahun lalu.

Buktinya kedai makan bernama ‘Ipoh-Ipoh Ajee’ yang beroperasi di perhentian bas Medan Kidd, Ipoh, Perak, seawal 7 pagi hingga 3 petang itu dipenuhi pelanggan yang mahu merasai keenakan mi tikus dan pelbagai menu lain.

Teknik menggoreng oleh Encik Redzuan atau lebih mesra dipanggil Abang Wan itu juga cukup unik iaitu dengan melambung-lambung mi dalam kuali dengan api menyala, itu pun sudah menarik perhatian.

“Mi tikus ini berasal daripada nama asli masakan Cina iaitu lo shi fun yang bermaksud mi tikus dalam dialek Kantonis. Sejak saya kecil ia memang dah dipanggil mi tikus kalau diterjemah ke bahasa Melayu, jadi saya kekalkan nama itu,” katanya, lapor Astro Awani.

Encik Redzuan berkata mi tikus diperbuat daripada mi laksa pendek yang digoreng bersama beberapa bahan seperti bawang, telur, udang dan kicap.

Bapa kepada lima anak itu mengakui cukup bertuah apabila ditakdirkan memeluk agama Islam dan peluang itu digunakan untuk berkongsi menu itu dengan masyarakat Melayu.

“Seronok dapat tengok pelanggan Melayu nikmati makanan Cina. Idea ini tercetus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila isteri (Cik Noraini Ropangi) yang ketika itu tidak bekerja mahu berniaga, jadi saya bantu dia.

“Ketika itu ada menu laksa dan mi kari, jadi saya masukkan juga menu masakan Cina,” katanya.

Anak jati Ipoh itu berkata beliau pernah menimba pengalaman di sebuah restoran Cina di Klebang Besar, Melaka, selepas tamat sekolah, membawa pulang teknik dan resipi yang kini diubah suai agar menepati piawaian halal tanpa mengorbankan rasa asli masakan Cina.

Malah beliau pernah membantu keluarganya membuka gerai makan di Medan Kidd pada tahun 1980-an menjual cendol, laksa dan lengkong.

Encik Redzuan yang memeluk Islam sejak 2006 berkata selain mi tikus, menu istimewa lain yang terdapat di kedainya ialah mi hailam, yee mi hailam, mi tikus pagar, nasi goreng pagar dan sebagainya.

Kedai makan Encik Redzuan tular selepas diberikan ulasan oleh pempengaruh media sosial pelbagai kaum menyebabkan beliau tidak menang tangan melayani sambutan pelanggan. Malah, beliau merancang membuka cawangan pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg