Makanan Asia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Restoran saji dim sum buatan tangan berkualiti dalam suasana selesa

Loong Dim Sum yang diasaskan bersama Fatimah Mohsin gabung hidangan klasik dan inovasi unik
Feb 1, 2025 | 5:30 AM
(Dari kiri) Pengarah pemasaran restoran Loong Dim Sum, Cik Fatimah Mohsin, Cef Derek Loong dan pengarah Loong Dim Sum, Encik Rafee Eunos.
(Dari kiri) Pengarah pemasaran restoran Loong Dim Sum, Cik Fatimah Mohsin, Cef Derek Loong dan pengarah Loong Dim Sum, Encik Rafee Eunos. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dim sum halal berkualiti tinggi jarang ditemui di Singapura, selalunya terhad kepada makanan segera atau pilihan asas yang tidak setanding dengan sajian di restoran bukan halal.

Loong Dim Sum, kedai makan empat tingkat baru di North Canal Road, bertujuan untuk mengubah naratif itu.

Diasaskan oleh usahawan berpengalaman Cik Fatimah Mohsin dan Encik Rafee Eunos bersama rakan kongsi perniagaan yang lain, restoran ini berhasrat untuk memberikan pengalaman menjamu selera yang mewah tanpa kehilangan daya tarikan dim sum yang selalunya dimakan bersama.

View post on Instagram
 

Restoran ini menawarkan konsep à la minute, iaitu menyajikan dim sum buatan tangan yang baru dibuat, jarang ditawarkan di restoran dim sum di sini.

Setiap hidangan disediakan setelah dipesan, memastikan mutu dim sum tersebut.

Cik Fatimah, individu terkenal dalam industri perkahwinan dan fesyen dengan lebih 25 tahun pengalaman, menceburi dunia makanan dan minuman (F&B) kali pertama dengan restoran 555 Halal Thai pada 2020.

“Semasa Covid, saya mempunyai restoran di Kranji selama dua tahun. Ia adalah satu kejutan buat saya kerana industri F&B sangat memenatkan dan memberi tekanan.

“Selepas kami tutup, saya memberitahu diri saya, ‘saya dah tak nak buat lagi’. Tetapi dua tahun kemudian, saya mula merinduinya.

“Ada sesuatu yang memuaskan tentang berkhidmat kepada orang ramai dan membina rangkaian melalui industri F&B,” katanya.

Perkongsiannya dengan Encik Rafee, yang mempunyai pengalaman selama dua dekad dalam industri hospitaliti dan perdagangan ternakan korban, terhasil secara kebetulan.

“Kami telah mengenali antara satu sama lain selama lebih 20 tahun. Beliau adalah pelanggan khidmat perkahwinan saya.

“Tahun lepas (2024), beliau mendekati saya dengan idea perniagaan. Ia bermula dengan khidmat korban, tetapi itu bukan kepakaran saya.

“Kemudian, apabila beliau sarankan untuk membuka restoran ini, saya terfikir, ‘Boleh tak? Nak buat lagi?’

“Tetapi melihat lokasi restoran itu dan mengetahui betapa saya suka makan dim sum, saya yakin,” tambah Cik Fatimah.

Bagi Encik Rafee, inspirasi untuk Loong Dim Sum datang dari zamannya dalam industri perhotelan.

“Terdapat salah tanggapan bahawa dim sum adalah seperti makanan segera, hanya dikukus dan dihidangkan.

“Tetapi dim sum sebenar adalah seni. Ia mestilah segar, dibuat dengan tangan, dan sesuatu yang anda nikmati perlahan-lahan. Di Loong, semuanya disediakan dengan teratur, tidak ada yang beku,” jelasnya.

Menu Loong Dim Sum menampilkan gabungan tawaran tradisional dan inovasi moden, memberi pengalaman nostalgia dan sesuatu yang menyegarkan.

Hidangan Siew Mai, $7.20 misalnya, dibuat dengan ayam dan udang. Ladu lembut dengan kulit nipis dan halus tetapi dapat menampung inti yang padat.

Har Gaw, $7.20, atau ladu udang, ialah satu lagi dim sum yang klasik. Disalut dengan kulit yang agak tipis tapi kenyal, udang di dalamnya berisi dan manis.

Tekstur udang, digabungkan dengan kulit seperti sutera yang licin, menjadikannya satu hidangan enak.

Bagi mereka yang mencari sesuatu yang unik, Truffle Crystal Mushroom Dumpling, $7.80, menawarkan aroma yang kaya dan rasa yang kompleks.

Cendawan dipadankan dengan kulit ladu yang halus berwarna hitam, manakala lobak merah dan sayur-sayuran lain memberikan tekstur rangup yang menyelerakan.

Pelanggan juga boleh menikmati Loong’s Signature Juicy Bao, iaitu xiao long bao atau ladu bersup dengan harga $8.80 dan Lobster Broth Pumpkin Dumpling iaitu ladu goreng diisi sup labu udang karang dengan harga $7.80.

Nama restoran, ‘Loong’, yang bermaksud ‘naga’ dalam bahasa Cina, melambangkan kekuatan dan kemakmuran.

Menariknya, cef eksekutif mereka, Cef Derek Loong, yang dilatih di bawah perunding berbintang Michelin dari Kuala Lumpur, turut berkongsi nama Loong.

“Makan adalah satu pengalaman. Kami tidak mempunyai kod QR untuk membuat pesanan. Kami percaya pada perkhidmatan.

“Sebagai contoh, hidangan rak kambing kami diukir di tepi meja. Ia mengenai mencipta pengalaman, bukan sekadar makan,” kongsi Encik Rafee.

Latar belakang kreatif Cik Fatimah dalam fesyen dan perkahwinan memainkan peranan penting dalam reka bentuk dan suasana restoran.

“Saya mahukan ruang di mana pelanggan tidak berasa tergesa-gesa. Sama ada anda menikmati hidangan di tingkat bawah, menikmati kopi di tingkat kedua, atau menganjurkan acara di atas, pengalaman itu sepatutnya terasa mudah tetapi istimewa,” katanya.

Loong Dim Sum menawarkan bukan sahaja hidangan klasik tetapi juga hidangan unik seperti itik truffle dan rak kambing.

“Pada mulanya terdapat perbincangan mengenai menjadikannya pengalaman yang mewah atau fine dining, tetapi saya berkata tidak dan sangat tidak bersetuju dengannya.

“Restoran dengan konsep fine dining akan mengehadkan kami kepada pasaran khusus.

“Saya mahu restoran ini dimampui ramai. Harga kami berdaya saing kerana kami mahu semua pelanggan menikmati makanan berkualiti tanpa perlu berbelanja secara banyak.”

Selain itu, strategi harga tetap di restoran itu menjadikannya dimampui khalayak ramai.

Dengan hidangan berharga antara $4.80 dan $8.80 untuk dim sum, Loong Dim Sum mencapai keseimbangan antara kemampuan dan kualiti.

Selain dim sum, terdapat menu Cina khas seperti kulit salmon rangup dengan telur masin dengan harga $9.80, separuh bahagian itik panggang truffle hitam berharga $38 dan rak kambing dengan harga $88.

Proses kajian dan pembangunan (R&D) untuk restoran ini amat meluas, dengan pasukan tersebut mengadakan lawatan ke Malaysia dan Jakarta untuk merasai dim sum halal terbaik.

“Kami mahukan yang terbaik daripada yang terbaik. Selepas berbulan-bulan membuat kajian dan ujian serta malam tanpa tidur, kami yakin dengan tawaran kami,” kata Cik Fatimah.

Di sebalik makanan, restoran ini merangkumi semangat makan bersama.

“Dim sum adalah mengenai perkongsian, seperti datuk yang memberi makan kepada cucu, keluarga yang menjalin ikatan melalui makanan. Itulah keindahannya,” kata Encik Rafee.

Cik Fatimah menambah: “Saya mahu orang ramai berasa selesa di sini. Kami bukan sekadar menjual makanan, kami menjual pengalaman.”

Kepelbagaian tawaran bermakna terdapat potensi yang kukuh untuk francais, terutamanya di kawasan yang pilihan tempat makan halal terhad.

Cik Fatimah dan Encik Rafee teruja dengan idea francais di luar Singapura apabila masanya tepat.

Saya mahukan ruang di mana pelanggan tidak berasa tergesa-gesa. Sama ada anda menikmati hidangan di tingkat bawah, menikmati kopi di tingkat kedua, atau menganjurkan acara di atas, pengalaman itu sepatutnya terasa mudah tetapi istimewa. Saya mahu restoran ini dimampui ramai. Harga kami berdaya saing kerana kami mahu semua pelanggan menikmati makanan berkualiti tanpa perlu berbelanja secara banyak.
Cik Fatimah Mohsin, pengarah pemasaran restoran Loong Dim Sum.
Loong Dim Sum
Alamat: 10 North Canal Road, Level 1, Singapura 048823
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 9 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg