Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Mini Dhaka’ di KL diserbu, lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin ditahan

Dec 22, 2023 | 3:01 PM
JAGA KEBAJIKAN: Seorang pegawai polis yang menyertai operasi khas pihak berkuasa dalam serbuan ke ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur, memberi roti kepada kanak-kanak warga asing yang ditahan pada 21 Disember.
JAGA KEBAJIKAN: Seorang pegawai polis yang menyertai operasi khas pihak berkuasa dalam serbuan ke ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur, memberi roti kepada kanak-kanak warga asing yang ditahan pada 21 Disember. - Foto FACEBOOK WARGA WILAYAH

KUALA LUMPUR: Satu serbuan pihak berkuasa ke lokasi yang diberi julukan ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur, membawa kepada penahanan kira-kira 1,100 pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk dua kanak-kanak, pada 21 Disember.

Dalam operasi khas kira-kira 11 pagi itu, sebanyak 60 premis di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa dan polis turut merampas 100 karton rokok, 80 karton arak dan ubat tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan nilai rampasan RM104,530 ($29,900).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed, berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan tentang kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing.

“Operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah di kawasan sekitar Kompleks Kota Raya dan Kuala Lumpur, terutama membabitkan Pati.

Selain itu operasi turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras sebarang kegiatan tidak sihat di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan di 60 premis di kawasan sekitar Kompleks Kota Raya berjaya menahan mereka selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 21 Disember.

Lokasi itu diberi julukan ‘Mini Dhaka’ oleh warga tempatan, berikutan ia menjadi tumpuan lambakan warga asing.

Datuk Allaudeen berkata menerusi serbuan itu, dua kanak-kanak warga asing turut ditahan untuk pemeriksaan kerana tiada dokumen pengenalan diri sah.

Beliau berkata semua Pati kemudian dibawa ke Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi, sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan mengikut Seksyen 6 (3) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.

“Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 15(4) dan 15(1)(C) akta sama, selain Peraturan 39(B) Peraturan Imigresen 1963.

“Operasi bersepadu khas sebegini akan diteruskan pada masa akan datang di beberapa lokasi lain di ibu negara yang diketahui mempunyai isu kebanjiran Pati serta kegiatan jenayah.

“Kita juga alu-alukan maklumat orang ramai tentang kegiatan mencurigakan atau kehadiran Pati di kawasan masing-masing,” katanya.

Operasi khas itu membabitkan gerakan bersepadu Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur serta Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut sama, anggota penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan KKM dengan keseluruhan kekuatan 1,138 anggota dan pegawai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg