Gelagat Kak Cik Yah ‘mola-mola’ menghibur hati netizen sehinggakan ada yang mengatakan beliau adalah ikon Ramadan tahun ini dan mengatasi pencipta kandungan popular Khairul Aming, yang memang terkenal dengan resipi semasa bulan puasa.
Belum terlambat lagi untuk Kak Cik Yah atau namanya Nariah Ahmad, 75 tahun meraih populariti luar biasa sebagai pencipta kandungan di media sosial.
Aksinya yang bersahaja, dengan menggunakan teknologi ‘asas’ telefon bimbitnya, berjaya mendapatkan jutaan tontonan dan hampir 420,000 pengikut di Tik Tok.
Kak Cik Yah sering membuka tirai video masaknya dengan ‘Assalamualaikum, mola-mola’ dan ini kekal menjadi usikan netizen yang terhibur dan menganggapnya, Nenek online mereka.
“Saya mulakan akaun TikTok sendiri, dan resipi pertama saya ialah Kerabu Mangga Thailand yang saya letak sendiri di TikTok,” kata Kak Cik Yah Kak Cik Yah berasal dari Arau, Perlis, dan kini menetap di Kampung Melayu di Air Itam, Pulau Pinang bersama anak lelaki bongsunya.
Antara video yang mencuit hati netizen adalah video yang dimuat naik pada Oktober 2024, di mana video masaknya kelihatan kabur dan posisi ‘kamera’ tidak menampakkan kegiatan masak itu, apatah lagi apa yang sedang berlaku dalam ‘periuk’. Video Kak Cik Yah mula mendapat perhatian dan tular pada Ramadan dan rata-rata penonton terhibur dengan gelagatnya yang bersahaja.
Parodi video Kak Cik Yah pula muncul seperti cendawan dengan ramai netizen melakonkan adegan masak Kak Cik Yah.
Antaranya pengguna @Coach Hanger Pink, @Nasi Lemak Janda yang merakam diri mereka cuba menyalin resipi Kak Cik Yah, tetapi kemudiannya suara wanita itu tidak kedengaran kerana bunyi gorengan Kak Cik Yah mengatasi suaranya yang halus sedang memberi arahan masakan.
Warganet juga turut sama merasai ‘gegaran’ hasil tumbukan cili Kakcik Yah gara-gara telefon yang digunakan untuk merekod sesi berkenaan diletakkan di atas meja.
Menurut seorang pencipta kandungan @Faisol Abdullah, Kak Cik Yah lagi ‘real’ dari Khairul Aming.
“Sorry Khairul Aming, Kak Cik Yah lagi ‘real’. Kalau Kak Cik Yah tumbuk belacan kat sana (di dalam video), dengan kita-kita sekali bergegar…,” kata beliau.
Video tular Kak Cik Yah telah pun mendapat perhatian Khairul Aming, dan ramai netizan mengharapkan kolaborasi bersama. Dalam satu temu bual dengan Bernama, Khairul Aming berkata beliau mengalu-alukan kolaborasi dengan Kak Cik Yah yang diharapkan akan dilaksanakan selepas Hari Raya nanti.
“‘Kak Cik Yah adalah bukti bahawa kandungan media sosial boleh dicipta tanpa mengira usia dan peralatan canggih. Ia hanya memerlukan dedikasi dan semangat untuk mencuba,” kata Khairul Aming.
Apa yang bermula kerana niat ‘suka-suka’ ingin berkongsi resipi sejak tiga tahun lalu, tidak sangka menjadi tular dan kini Kak Cik Yah, seorang ibu tunggal kepada empat orang cahaya mata, telah mendapat perhatian ramai penaja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg