KUALA LUMPUR: Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dikuatkuasakan ke atas kenderaan asing yang memasuki Malaysia mulai 1 Oktober, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Encik Anthony Loke pada 25 Jun, yang menambah pihak berkuasa tidak akan menarik balik penguatkuasaan itu.
“Itulah mesejnya. Tidak akan ada pusingan ‘U’. 1 Oktober, ia akan dikuatkuasakan,” katanya, seperti dipetik oleh agensi berita Malaysia Bernama yang dipetik The Straits Times.
Encik Loke telah mengumumkan pada 28 Mei bahawa semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui darat dari Singapura akan dikehendaki memiliki VEP yang sah mulai 1 Oktober.
Pemilik kenderaan asing akan dikehendaki mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag pengenalan frekuensi radio VEP mereka. Tanpa VEP yang sah, yang beroperasi sebagai “kad pengenalan” untuk kenderaan asing di Malaysia, pemandu kenderaan berisiko dinafikan masuk ke Johor atau denda sehingga RM2,000 (S$575).
Ini akan dikenakan kepada pemandu yang memasuki kedua-dua pusat pemeriksaan Johor di Bangunan Sultan Iskandar melalui koswe dan Kompleks Sultan Abu Bakar melalui Laluan Kedua.
VEP, yang pertama kali diumumkan pada 2017, telah dilaksanakan tetapi belum dikuatkuasakan dengan ketat.
Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan akan menguatkuasakan pendaftaran mandatori bagi kenderaan asing yang masuk dari Singapura, tetapi dua kali menangguhkan penguatkuasaan pada 2019 dan 2020 kerana isu pemasangan dan pendaftaran tag VEP-RFID.
Pada 25 Jun, Encik Loke berkata proses untuk mendapatkan VEP telah dipermudahkan, dengan pilihan untuk menghantar tag RFID ke rumah pemohon, agar mereka tidak perlu pergi ke Johor untuk mengambilnya, walaupun pilihan itu masih tersedia.
Kerajaan Malaysia akan dapat menggunakan VEP untuk mengesan rekod trafik, termasuk saman dan kesalahan kenderaan berdaftar asing, katanya.
Beliau menambah bahawa pemandu yang mempunyai kesalahan lalu lintas perlu menjelaskan denda mereka akibat pelanggaran tersebut sebelum meninggalkan Malaysia.
“Mesejnya sangat jelas. Saya berharap pemandu Singapura yang kerap datang ke Malaysia akan mematuhi undang-undang dan peraturan kami,” kata Encik Loke.
“Sama seperti kereta Malaysia yang masuk ke Singapura, kita perlu mematuhi undang-undang dan peraturan mereka. Mereka dijangka melakukan perkara yang sama.”
Encik Loke juga berkata Kementerian Pengangkutan menyedari jumlah e-mel yang tinggi yang dihantar pemohon VEP kepada Jabatan Jalan dan Pengangkutan (JPJ)nya berhubung pelbagai kesukaran yang mereka hadapi semasa mendaftar untuk permit itu, yang berlangsung lima tahun selepas diaktifkan.
Beliau berkata beliau akan meneliti isu-isu tersebut dan merancang untuk melawat Johor bagi mengkaji perkara itu.
“Apabila kami telah membetulkan (isu), kami akan membuat beberapa pengumuman... dari segi penambahbaikan,” katanya. “Yakinlah bahawa kami akan cuba memudahkan. Tetapi jangan mengharapkan pusingan ‘U’.”
Pemandu yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar bagi VEP dalam talian telah diminta untuk menulis kepada aduanvep@jpj.gov.my tetapi ramai yang menyatakan kebimbangan kerana tidak menerima balasan, beberapa minggu selepas menghantar emel. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg