Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenderaan asing masuk M’sia dari S’pura wajib ada VEP mulai 1 Okt

May 28, 2024 | 5:44 PM
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook memaklumkan mengenai penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk kenderaan asing yang memasuki Malaysia dari Singapura, bermula 1 Oktober 2024.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook memaklumkan mengenai penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk kenderaan asing yang memasuki Malaysia dari Singapura, bermula 1 Oktober 2024. - Foto FACEBOOK KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA

Bermula 1 Oktober 2024, semua kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui darat diwajibkan mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP).

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata peraturan itu akan dikuatkuasakan bagi kenderaan asing yang merentasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB) di Linkedua.

Beliau berkata mulai tarikh itu, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memandu kenderaan pendaftaran asing untuk memasuki atau berada di Malaysia tanpa VEP.

“Jika sabit kesalahan, pemandu terbabit boleh dikenakan kompaun atau didenda tidak lebih RM2,000 ($574) atau dipenjara tidak lebih enam bulan,” katanya.

Menurutnya, peraturan itu bertujuan memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya di Malaysia sepenuhnya.

Encik Loke dalam satu kenyataan memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana kenderaan asing daripada keluar dari Malaysia, sekiranya mempunyai perkara yang belum selesai.

“Ini bermaksud kalau mana-mana kenderaan asing ada menyalahi peraturan jalan raya atau saman tertunggak, ia mesti diselesaikan dahulu sebelum dibenar meninggalkan Malaysia,” jelasnya.

Selari dengan tarikh mula penguatkuasaan tersebut, Encik Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap semua pemilik kenderaan asing segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID atau Radio Frequency Identification (Pengesanan Frekuensi Radio) VEP untuk mengelak sebarang kesulitan semasa keluar masuk Malaysia pada masa akan datang.

Sejak April 2019 MOT telah melaksanakan pendaftaran VEP kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Kompleks CIQ di BSI dan BSAB.

Berdasarkan rekod semasa, beliau berkata hanya terdapat sekitar 70,000 kenderaan motor pendaftaran Singapura yang telah berdaftar dan mengaktifkan tag VEP, berbanding lebih 200,000 kenderaan yang telah berdaftar, namun masih belum melengkapkan proses memasang dan mengaktifkan tag VEP masing-masing.

“Semua pemilik kenderaan motor asing dari Singapura dinasihat memperbaharui VEP yang akan tamat tempoh atau melengkapkan proses pendaftaran mendapatkan VEP bagi kenderaan mereka dalam tempoh empat bulan ini bagi mengelak sebarang masalah apabila melakukan perjalanan antara kededua negara, yang juga akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak perlu,” katanya.

Berdasarkan semakan di laman web JPJ, pemilik kenderaan asing boleh membuat permohonan RFID-VEP secara dalam talian di laman web JPJ dengan mendaftarkan butiran kenderaan, pemilik dan pemandu kenderaan atau melantik wakil untuk mendaftar.

Pemohon akan menerima e-mel berserta slip pengesahan yang mengandungi butiran pendaftaran dan boleh dimuat turun daripada laman web berkenaan.

Pemohon perlu mengemukakan slip pengesahan bersama dokumen lain yang diperlukan kepada pegawai JPJ untuk pengesahan di kaunter kutipan yang ditetapkan di Johor Bahru dengan pembayaran yuran proses RM10 ($2.87), sebelum pemilik kenderaan menerima tag RFID-VEP yang sah selama lima tahun.

Pemohon akan dihubungi melalui e-mel mengenai cara memperoleh tag RFID-VEP apabila telah mendaftar untuk VEP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg