KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan rancangan untuk membina taman reka bentuk semikonduktor besar-besaran, bertujuan untuk meningkatkan peranan negara Asia Tenggara itu dalam industri cip global.
Sebagai pemain terkemuka dalam industri semikonduktor selama beberapa dekad, Malaysia menyumbang kira-kira 13 peratus daripada daripada pasaran global untuk perkhidmatan ‘back-end’ seperti pembungkusan, pemasangan dan ujian untuk semikonduktor, menurut teknologi gergasi Jerman Bosch.
“Kini kita mahu melangkaui pengeluaran dan muncul sebagai kuasa reka bentuk cip juga.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan Taman Reka Bentuk IC (litar bersepadu) terbesar di Asia Tenggara, yang akan menempatkan penyewa utama bertaraf dunia dan bekerjasama dengan syarikat global seperti Arm,” kata Datuk Anwar dalam ucapan, merujuk kepada gergasi reka bentuk cip Britain itu, lapor AFP.
Beliau berkata taman itu akan dibina di Selangor namun tidak berkongsi sebarang butiran mengenai kos dan garis masa.
Projek itu akan menjadi satu penanda aras penting bagi Malaysia yang telah lama menjadi hab pembuatan cip, dengan Pulau Pinang menempatkan beberapa kemudahan dan sering digelar Lembah Silikon Malaysia.
Ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China berhubung teknologi canggih, terutamanya semikonduktor sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah memaksa banyak firma untuk meninjau dan memindahkan pembuatan mereka dari China ke negara lain termasuk Malaysia, Vietnam dan India.
“Hakikatnya ialah kami telah terlepas peluang dalam pelaburan teknologi, menjadikannya penting bagi kami untuk menyusun semula strategi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg