Kementerian Dalam Negeri Malaysia akan memasang 40 unit tambahan eGate Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) serta 145 lagi pengimbas kod QR bagi pengguna aplikasi MyNIISe di laluan motosikal, kereta dan pejalan kaki di Johor menjelang 31 Disember.
Kementerian itu berkata penambahbaikan tersebut akan dilaksana di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang masing-masing terletak di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
Penambahbaikan tersebut akan menggandakan kapasiti pemprosesan di kedua-dua pintu masuk serta memperkukuh sistem imigresen digital.
Ia bagi memastikan perjalanan lebih lancar, pantas dan selamat bagi pengguna Malaysia dan Singapura, khususnya semasa waktu sibuk, tambah kementerian itu.
“Penaiktarafan sistem aplikasi MyNIISe dan NIISe sedang dipercepatkan melalui penyelarasan rapat bersama para vendor.
“Langkah ini memastikan sistem menjadi lebih stabil, responsif serta mampu menampung peningkatan jumlah pengguna,” kata kementerian itu dalam kenyataan pada 15 Disember.
Kementerian tersebut menambah bahawa penambahbaikan segera dan jangka sederhana akan meningkatkan prasarana serta sistem automasi.
Ia termasuk menaik taraf aliran pergerakan pengguna, memperkukuh sistem digital serta memastikan semua kemudahan beroperasi pada kapasiti optimum, khususnya di laluan motosikal yang mencatat jumlah trafik tertinggi setiap hari.
Kementerian itu juga sedang memperluas capaian Internet bagi sistem automasi di lokasi kritikal dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, bagi memastikan penggunaan kod QR MyNIISe tidak terganggu semasa waktu sibuk.
Penyepaduan sistem MyNIISe dengan sistem MyBorderPass akan membolehkan pengembara tempatan dan asing melalui pemeriksaan imigresen dengan lebih lancar dan mudah.
“Bagi memastikan pelaksanaan semua penambahbaikan ini berjalan lancar, kementerian telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk memantau kerja naik taraf setiap minggu sehingga semua sistem beroperasi sepenuhnya menjelang akhir Disember.
“Dengan pelaksanaan bersepadu langkah-langkah naik taraf ini, kementerian menjangkakan pengalaman perjalanan di kedua-dua pintu masuk Johor dan Singapura bertambah baik menjelang akhir 2025,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg