Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia rangka garis panduan Muslim di majlis bukan Islam

Feb 6, 2025 | 6:54 PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail BERNAMA

Malaysia dijangka memperkenalkan satu garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata garis panduan yang pertama seumpamanya dirangka bertujuan menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia.

Sambil mengingatkan supaya cadangan itu tidak menimbulkan polemik dan salah faham yang boleh menimbulkan keresahan awam, Datuk Mohd Na’im menegaskan dengan garis panduan itu orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

Ketika ini, garis panduan itu masih dalam proses libat urus antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pihak berkuasa termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (Main) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126.

Menurut Datuk Mohd Na’im, keputusan Jawatankuasa Muzakarah mengenai garis panduan itu akan diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, sebelum dimuktamadkan pada akhir Februari ini.

“Garis panduan itu akan diperkenalkan supaya penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

“Sebagai contoh, garis panduan itu mencakupi hal menyentuh ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

“Ia turut terkait soal pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 6 Februari turut menegaskan Kabinet akan membincangkan mengenai cadangan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam sebarang upacara termasuk di rumah ibadat bukan Islam pada 7 Februari.

Garis panduan itu antara lain turut menyebut mengenai syarat untuk penganjur mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Beberapa pihak di Malaysia menzahirkan rasa kurang selesa dengan cadangan itu dan mahu perbincangan lanjut diadakan bagi mengelak salah faham.

Pengamal undang-undang dan beberapa pertubuhan termasuk badan perwakilan Hindu di Malaysia, Malaysia Hindu Sangam (MHS), berharap jika cadangan garis panduan itu direalisasikan, ia mestilah dirumus secara inklusif untuk memastikan ia adil, praktikal dan tidak melanggar hak mana-mana komuniti agama.

Beberapa Ahli Parlimen (AP) juga bimbang garis panduan itu akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang sering dijemput menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.

“Wakil rakyat Muslim yang menghadiri majlis dianjurkan pihak bukan Islam jelas bukan untuk beribadat, tetapi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat yang diwakili,” kata AP Bangi (Selangor), Encik Syahredzan Johan.

Sebelum ini beberapa isu timbul termasuk teguran pendakwah ketika Datuk Anwar menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina, di Kuala Lumpur, baru-baru ini, berkait satu upacara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg