KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko penyusutan tenaga kerja akibat penurunan kadar kesuburan, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan isu kesihatan mental dalam kalangan warganya, terutama membabitkan golongan belia.

Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata cabaran berkenaan yang disifatkan sebagai ‘krisis kembar’ boleh memberi kesan kepada jumlah tenaga kerja, produktiviti ekonomi, daya saing negara, perbelanjaan kesihatan serta kemampanan sistem perlindungan sosial dan fiskal negara.

“Menyusuli itu, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) mengambil pendekatan strategik dan bersepadu bagi memastikan Malaysia memiliki tenaga kerja mencukupi, sihat, berkemahiran dan produktif dalam usaha mencapai aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi serta antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.

“Antara strategi utama kerajaan ialah memperluas dan mengoptimumkan bekalan tenaga kerja menerusi peningkatan penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita, warga emas produktif, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan rentan.

“Kerajaan turut memperkukuh program peningkatan kemahiran, latihan semula serta pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan tenaga kerja dapat menyesuaikan diri dengan ekonomi baharu yang dipacu pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi termaju,” katanya, lapor Harian Metro.

RMK13 merujuk kepada pelan tindakan menyeluruh kerajaan yang merangka strategi dan peruntukan belanjawan negara untuk tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia, bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus dari Perikatan Nasional, Datuk Dr Alias Razak.

Datuk Dr Alias meminta kerajaan menyatakan strategi makro dalam merangka RMK13 bagi menangani unjuran risiko penyusutan pasaran tenaga kerja negara.

Mengulas lanjut, Encik Akmal berkata kerajaan akan memperluas amalan pekerjaan fleksibel dan mesra keluarga bagi membolehkan lebih ramai rakyat kekal dalam pasaran pekerja.

Dalam aspek daya penghasilan, Encik Akmal memaklumkan RMK13 turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang sihat dengan memperkukuh agenda reformasi kesihatan, pencegahan NCD, saringan kesihatan serta campur tangan kesihatan mental di peringkat masyarakat dan institusi pendidikan.

“Kerajaan juga akan mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk pembentukan keluarga dan kelahiran melalui penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak mampu milik, sokongan kepada ibu bapa bekerja, perumahan sesuai untuk keluarga muda serta penggalakan kerja fleksibel,” katanya.

Menurutnya, RMK13 akan memberi tumpuan kepada pembangunan Ekonomi Perak bagi memanfaatkan potensi penduduk menua dengan menyediakan peluang pekerjaan fleksibel, keusahawanan, pemindahan ilmu serta kegiatan ekonomi berasaskan masyarakat.

Sektor penjagaan, teknologi kesihatan dan penjagaan jangka panjang turut akan dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan bermutu.