Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia boleh ikut kaedah S’pura tangani isu keterjaminan makanan: Mat Sabu 

Dec 10, 2023 | 5:30 AM
TINJAU BEKALAN PADI: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kanan) meninjau kawasan sawah padi  di Kampung Gerai, Terengganu, baru-baru ini.
TINJAU BEKALAN PADI: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kanan) meninjau kawasan sawah padi di Kampung Gerai, Terengganu, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Isu kekurangan bekalan makanan di Malaysia termasuk untuk haiwan ternakan mungkin boleh diselesaikan melalui kaedah reverse investment (pelaburan berbalik), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya, kaedah tersebut sudah pun berjaya diamalkan oleh Singapura yang menjadi negara peneraju dalam keterjaminan makanan walaupun republik itu memiliki sumber yang terhad.

Menurut Datuk Mohamad, penghasilan bahan makanan seperti untuk binatang ternakan sebenarnya menelan kos pengeluaran yang agak tinggi.

“Sekarang kita tumpu (penghasilan) jagung bijirin iaitu makanan utama kepada binatang ternakan tapi bila kita buat di sini (dalam negara), setakat ini, kosnya agak tinggi.

“Singapura, negara itu nombor satu dalam keterjaminan makanan, (sedangkan) ia bukan ada (sumber) apa pun tapi dia buat (penghasilan makanan) di luar,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Untuk konteks negara ini, kata beliau, sampai masanya untuk langkah itu diteliti dan diambil jika didapati sesuai dan lebih menjimatkan.

Pun begitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata ia bergantung kepada kemampuan dan kelulusan pihak lain seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau agensi lain yang memiliki dana kukuh.

Ia juga bergantung kepada persetujuan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, ujarnya.

Dengan langkah sebegitu, kata Datuk Mohamad, negara Malaysia mempunyai rizab makanan yang selamat dan terjamin jika berlaku sesuatu keadaan darurat atau luar jangka.

“Ini kita panggil reverse investment,” katanya lagi.

Menjelaskan cadangan itu, beliau berkata ia sebelum ini pernah dicuba tanaman jagung di Perlis untuk menampung keperluan haiwan ternakan domestik.

Bagaimanapun, katanya, kos pengeluaran agak tinggi dan ia mendorong kerajaan melihat kemungkinan untuk menghasilkan produk itu di luar negara, jika ia lebih ekonomi.

Cari cara terbaik

Datuk Mohamad memberitahu setakat ini idea tersebut masih dalam perancangan dan belum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dasar dan pelaksanaan.

“Masa depan nanti, kita kena ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, menjawab mengenai bilakah negara akan mencapai kadar 100 peratus keterjaminan makanan, beliau merujuk kepada hakikat bahawa ia akan sentiasa wujud “sehingga kiamat”.

Katanya, ia pernah dinyatakan dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf as yang berdepan dengan tujuh tahun kemarau, selain juga diceritakan pada zaman Umar al-Khattab apabila khalifah itu menangguhkan hukuman potong tangan atas kesalahan mencuri ketika berlaku krisis makanan dan kemiskinan.

Semasa dunia berperang juga, katanya, penduduk Malaysia terpaksa bergelut dengan kelaparan sehingga ada yang menjadikan ubi kayu sebagai pengganti beras.

“Jadi, kita tak boleh (nak) jamin bahawa krisis makanan tak akan berlaku lagi... tak boleh berbahasa (berkata) begitu. Cuma, kita (boleh) cari jalan yang terbaik,” katanya.

Menurutnya, isu kekurangan bekalan beras terjadi disebabkan beberapa faktor termasuk kesan harga beras import melambung menyebabkan ada sesetengah pengguna memilih beras tempatan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan berlaku peningkatan permintaan yang mendadak dan ia menjejas bekalan di pasaran.

“Pada pandangan orang ramai, beras import ini lebih cantik dan bermutu, tapi apabila harga beras import melambung, maka pembeli mula mencari beras lebih murah.

“Kebetulan beras murah itu ialah beras tempatan yang kerajaan (beri) subsidi begitu banyak,” katanya.

Ketika ini, kata Datuk Mohamad, kementeriannya sedang memberi tumpuan untuk mencukupkan bekalan beras pada masa akan datang.

Antara usaha lain yang dibuat ialah membawa kaedah penghasilan padi di Sekinchan, Selangor, untuk diperkenalkan di Kedah dan Terengganu, dan juga perbincangan bersama Sabah dan Sarawak untuk dijadikan negeri jelapang padi.

“Pihak swasta juga mula menunjukkan minat untuk membuka ladang-ladang padi.

“Kerajaan berharap beberapa tahun lagi kita akan dapat mencapai (tujuan) mencukupkan bekalan beras,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg