Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia, Filipina kerjasama pindah rakyat dari Gaza

Oct 12, 2023 | 12:29 PM
MISI MENYELAMAT: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mahu bawa keluar seorang doktor Malaysia dari Jaluran Gaza.
MISI MENYELAMAT: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mahu bawa keluar seorang doktor Malaysia dari Jaluran Gaza. - Foto PEJABAT MENTERI LUAR

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang bekerjasama dengan Kedutaan Filipina untuk memindah keluar seorang doktor rakyat Malaysia yang berada di Jaluran Gaza, Palestin

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata Wisma Putra sedang menyelaras proses menyelamat keluar Dr Nurul Ain Latif.

Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, sudah dapat menghubungi Dr Nurul Ain, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dan berkahwin dengan warga Palestin.

“Keadaan mereka (Dr Nurul Ain) berada di tempat selamat. Kita juga sedang berusaha melakukan proses pemindahan keluar untuk Dr Nurul Ain.

“Sehingga kini, kita mendapat kerjasama Kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga itu bersama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan tersebut,” katanya, menurut Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam pada itu, beliau mengesahkan hingga kini lima rakyat Malaysia dalam laporan Wisma Putra berada di Tebing Barat, Palestin, termasuk seorang ibu dengan tiga anak yang memegang pasport Malaysia.

BHM turut melaporkan bahawa sebahagian besar keluarga kakitangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin Berhad terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Sabtu lalu.

Ketika mengesahkan perkara itu, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Encik Muhd Farhan Muhd Fadhil, turut berkata semua tujuh rakyat tempatan kakitangan mereka selamat.

“Setakat ini kita sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku di sana dari semasa ke semasa,” katanya.

Kementerian Luar Malaysia menasihatkan pihak yang ingin melakukan perjalanan ke kawasan konflik Palestin-Israel supaya menangguhkan perjalanan berikutan keadaan keselamatan yang masih meruncing berikutan pertempuran antara dua pihak itu.

NGO yang masih berhasrat ke kawasan berkenaan dinasihatkan supaya merujuk perancangan mereka kepada kementerian itu terlebih dulu.

Wisma Putra berkata Malaysia sangat kesal akan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam serta kemusnahan berikutan pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober itu.

Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, katanya, masyarakat antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan, sambil menambah bahawa Israel tidak berhak menyekat saluran bantuan kemanusiaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg