Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia gerak ke arah larangan penuh vape jelang 2026

Dec 16, 2025 | 3:58 PM
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto FACEBOOK DR DZULKEFLY AHMAD

JOHOR BAHRU: Malaysia kini bergerak secara tegas ke arah pelaksanaan larangan penuh terhadap penggunaan vape, dengan Kementerian Kesihatan menyasarkan dasar berkenaan dimuktamadkan menjelang 2026 susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesannya ke atas kesihatan awam, khususnya kesihatan mental, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata keputusan berhubung larangan vape bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya soal masa, memandangkan Jemaah Menteri telah pun bersetuju secara prinsip dengan hala tuju ke arah pengharaman produk vape di seluruh negara.

“Ia bukan lagi soal sama ada kita akan mengharamkan vape atau tidak, tetapi bila. Keputusan untuk bergerak ke arah larangan telah dibuat di peringkat Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Permai pada 16 Disember.

Dr Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan menyasarkan pelaksanaan larangan itu sama ada menjelang pertengahan 2026 atau selewat-lewatnya hujung tahun berkenaan, tertakluk kepada penyempurnaan proses kawal selia dan perundangan yang diperlukan.

Beliau berkata kementerian terlepas peluang untuk membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, namun yakin isu berkenaan akan dibawa semula untuk pertimbangan awal 2026.

“Kami menyasarkan awal 2026 untuk membawanya semula ke Kabinet. Itulah tempoh masa yang sedang kami usahakan,” katanya lapor The Star.

Menteri Kesihatan itu berkata kebimbangan terhadap penggunaan cecair vape yang dicampur bahan terlarang serta bahan sintetik semakin meningkat apabila ia dikaitkan dengan kes psikosis akibat dadah dan gangguan kesihatan mental yang serius.

“Saya dimaklumkan tentang pesakit yang mengalami psikosis akibat penggunaan dadah termasuk ganja sintetik dan bahan lain yang sebahagiannya diambil melalui vape,” katanya.

Menurut Dr Dzulkefly, kes-kes berkenaan kini dipantau oleh sebuah pasukan khas yang diketuai kepimpinan kesihatan awam kementerian, dengan kerjasama pakar perubatan.

Beliau menambah bahawa faktor gaya hidup, termasuk penyalahgunaan bahan terlarang merupakan antara penyumbang utama kepada cabaran kesihatan mental, sambil menyifatkan isu itu bersifat pelbagai faktor namun semakin membimbangkan.

“Ini adalah realiti perubatan yang diiktiraf dan ia mengukuhkan keperluan untuk tindakan dasar yang tegas,” katanya.

Dr Dzulkefly menegaskan bahawa langkah ke arah pengharaman vape selari dengan dasar kesihatan sedia ada dan bukan suatu perubahan mendadak.

“Ini bukan tindakan terburu-buru. Dasar serta tatacara operasi standard sudah lama wujud dan dilaksanakan. Apa yang sedang kita lakukan kini ialah menuju ke satu noktah yang tegas,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian sehaluan dengan saranan badan perubatan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia yang menggesa kawalan lebih ketat dan pengharaman vape secara berperingkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg