MANJUNG (Perak): Malaysia secara rasmi menghantar notis tuntutan lebih RM1 bilion ($320 juta) kepada sebuah syarikat pertahanan Norway, menyusuli kegagalan menghantar sistem peluru berpandu antikapal (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan menuntut kos langsung dan tidak langsung, susulan keputusan sepihak Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan.

Beliau berkata Malaysia sudah membuat bayaran sebanyak Euro 126 juta (RM583.47 juta), bersamaan 95 peratus nilai kontrak yang telah dibayar daripada keseluruhan kontrak bernilai RM634.7 juta, melibatkan sistem persenjataan untuk LCS dan dua lagi kapal KD Jebat dan KD Lekiu.

“Pada 18 Mei, kami telah menghantar notis kepada syarikat Norway itu. Kita menuntut kos langsung dan kos tak langsung.

“Kos langsung sebanyak jumlah yang sudah dibayar, Euro 126 juta dan kita juga ada tuntut jumlah kos tak langsung yang membabitkan jumlah yang besar juga. Seluruh tuntutan itu berjumlah kira-kira RM1 bilion,” katanya, lapor portal berita Malaysiakini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan pembinaan LCS di Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas), di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, pada 19 Mei.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.

“Kita telah bayar 95 peratus daripada nilai kontrak. ​Tapi pada saat akhir, kalau kita tengok kronologi, kerajaan Norway telah membatalkan lesen eksport bagi sistem tersebut secara sepihak.

“Norway enggan mengeluarkan lesen eksport atas alasan dasar baharu negara mereka yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu dan rakan strategik terdekat.

“Maknanya hanya kepada negara Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan rakan-rakannya yang mereka anggap sebagai rakan strategik,” kata Datuk Mohamed Khaled lagi.

Menyusuli itu Datuk Mohamed Khaled berkata isu pembatalan itu telah menimbulkan krisis kepercayaan terhadap komitmen antarabangsa negara dan menjadi iktibar kepada Malaysia serta negara sekutu Asean dalam menjalankan hubungan dagangan dengan Norway.

“​Jadi, apabila komitmen ini boleh dibatalkan secara sepihak saja, maka keyakinan terhadap keseluruhan sistem akan mula terhakis.

“Pada peringkat kementerian, kita sudah beritahu dan kita harap negara seperti Asean dan negara yang bukan menjadi sekutu rapat Norway, ambil pengalaman pengajaran yang dihadapi oleh Malaysia, supaya mereka tidak beli dan berurusan dengan Norway.

“Kita pun dah maklumkan kepada Kementerian Pertahanan supaya apa-apa pembelian, sama ada peluru atau apa saja, tidak perlu beli dari Norway dan kita kena berhati-hati apabila membuat perolehan dengan negara lain yang mungkin melakukan tindakan serupa terhadap Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Mohamed Khaled, berkata Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada TLDM, bagi meneliti sistem gantian bagi menggantikan sistem NSM yang dibatalkan pembekalannya oleh syarikat pertahanan dari Norway itu.

Beliau berkata ia mungkin akan membuka kerjasama dengan negara sahabat berpotensi atau memberi komitmen dengan syarikat industri pertahanan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada negara luar.