Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia keluar pasport antarabangsa dengan 94 ciri keselamatan baru mulai 1 Jul
M’sia keluar pasport antarabangsa dengan 94 ciri keselamatan baru mulai 1 Jul
M’sia keluar pasport antarabangsa dengan 94 ciri keselamatan baru mulai 1 Jul
KUALA LUMPUR: Malaysia terus mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA) bagi memastikan dokumen perjalanan itu, yang kini disenaraikan sebagai pasport ketiga paling berkuasa di dunia, kekal selamat, sukar dipalsukan serta mematuhi piawaian antarabangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata versi baharu PMA yang menampilkan 94 ciri keselamatan berbanding 49 yang dikeluarkan bermula 1 Julai, adalah antara langkah yang dilaksanakan, walaupun setakat ini tiada kes pemalsuan fizikal dokumen itu dikesan.
Beliau berkata ciri keselamatan baharu itu membabitkan elemen visual, tersembunyi dan forensik, seiring perkembangan teknologi dan keperluan keselamatan dunia yang semakin kompleks.
Antara teknologi keselamatan yang digunakan termasuk corak garis keselamatan guilloche, latent image (imej pendam), rainbow printing (cetakan pelangi), line width modulation (modulasi ketebalan garisan), hologram serta cetakan ultraviolet (UV).
Ia direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.
“Melalui peningkatan ciri keselamatan ini, ia lebih selamat dan sukar dipalsukan,” katanya selepas pelancaran PMA versi baharu oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur, pada 30 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata, PMA baharu itu membabitkan tempoh sah laku 10 tahun dengan kadar bayaran RM350 ($111), manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal RM200.
“Buat permulaan, pasport akan dikeluarkan di 14 pejabat negeri terlebih dahulu termasuk di ibu pejabat bagi fasa pertama dan dijangka selesai hingga fasa ketujuh,” katanya lagi.
Datuk Zakaria berkata secara purata, sebanyak 180,000 hingga 220,000 pengeluaran pasport di Malaysia setiap bulan dan dengan adanya versi baharu itu, kadar pengeluarannya dijangka meningkat susulan permintaan tinggi.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pengenalan PMA struktur baharu ini satu langkah perubahan penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara selain memberikan lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat Malaysia.
PMA struktur baharu mengintegrasikan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).
“Ia sekali gus memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang selamat dan dipercayai di peringkat antarabangsa.
“Selain aspek keselamatan, PMA struktur baharu turut mengetengahkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan.
“PMA versi baharu memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan Bunga Raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada,” katanya.
