Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia laksana semakan kadar cukai jualan dan perkhidmatan kuat kuasa 1 Jul

Jun 10, 2025 | 10:04 AM
Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Barangan pilihan tertentu seperti king crab, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus berkuatkuasa 1 Julai 2025, menurut Kementerian Kewangan Malaysia.

Ia susulan pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat umum.

Menurut kementerian itu, beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.

Sementara barangan keperluan asas harian berkadar sifar peratus kekal bagi ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.

Cukai jualan sifar peratus juga kekal bagi bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan, lapor Berita Harian Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam satu kenyataan berkata kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Beliau berkata bagi memastikan rakyat umum tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan Madani mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.

Selain itu, katanya, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Melengkapi usaha Kerajaan Madani untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambah baikan SST ini akan membolehkan penambah baikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” terangnya.

Berkuatkuasa 1 Julai, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg