Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memberi peluang kepada perniagaan memperkukuh rantaian bekalan mereka, di tengah-tengah keadaan tidak menentu disebabkan oleh tarif, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada forum perniagaan dan pelaburan di Johor, Malaysia pada 21 April.
Encik Gan menyifatkan acara tersebut sebagai “penting dan tepat pada masanya” di tengah-tengah peningkatan dasar perlindungan di peringkat sejagat.
Menurutnya, ketegangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dengan China telah menyebabkan kededua negara itu mengenakan tarif timbal balas, yang menyekat perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Perkembangan itu akan mempunyai kesan ketara terhadap perniagaan di Singapura dan Malaysia, kebanyakannya sudah pun mempunyai rantaian pengeluaran dan bekalan di Amerika dan China.
Bagaimanapun, projek seperti JS-SEZ menunjukkan bahawa negara yang berfikiran sehaluan boleh bekerjasama untuk mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi, katanya.
“JS-SEZ memberi peluang kepada perniagaan untuk meneroka cara memperkukuh rantaian bekalan mereka, supaya mereka dapat bertindak balas dengan lebih baik terhadap keadaan tidak menentu ini dan terus mengembangkan perniagaan mereka,” ujar beliau.
JS-SEZ bertujuan menyelaraskan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dalam sektor utama seperti pembuatan termaju, logistik, teknologi dan ekonomi digital.
Zon tersebut, yang merangkumi tanah seluas 3,571 kilometer persegi di selatan Johor, akan menawarkan pelepasan kastam yang lebih mudah, peraturan yang diselaras, ketersambungan lebih baik untuk rakyat dan barangan, serta insentif cukai untuk syarikat yang menjalankan perniagaan di sana, lapor The Straits Times.
“JS-SEZ dibina atas kerjasama ekonomi yang kukuh dan berpanjangan antara Malaysia dengan Singapura untuk membuka sebuah saluran baru serta pelbagai peluang perniagaan baru yang lebih meluas,” kata Encik Gan.
Ini termasuk syarikat yang sudah berada di Singapura yang ingin mengembangkan kapasiti perniagaan di JS-SEZ, syarikat yang ingin membangunkan keupayaan baru di zon tersebut dan syarikat yang ingin “menggandakan kehadiran mereka” di Singapura dan Johor.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, turut hadir pada acara di Johor itu.
Acara itu turut memuatkan beberapa perbincangan panel mengenai bagaimana JS-SEZ boleh menjadi kuasa pelaburan di Asean, usaha mencipta kekayaan di rantau ini dan pandangan mengenai membina daya tahan rantaian bekalan.
Dalam ucapannya, Datuk Zafrul berkata walaupun kementeriannya masih mengkaji kesan tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, keperluan bagi “hubungan ekonomi” antara Malaysia dengan Singapura kini menjadi “lebih penting daripada sebelum ini”.
“Kita mesti realistik, tetapi kita juga mesti berwaspada daripada bersikap pesimis secara berlebihan,” katanya mengenai tarif tersebut.
“Keperluan bagi JS-SEZ adalah jelas.
“Oleh itu, kami akan terus berusaha sepenuhnya untuk memastikan kejayaannya,” tambah beliau.
Encik Trump mengumumkan tarif timbal balas ke atas import pada 2 April, mencetuskan pelbagai langkah sebagai respons dan rundingan perdagangan, melibatkan banyak negara.
Namun, Amerika mengumumkan pada 9 April penangguhan tarif timbal balas selama 90 hari, kecuali tarif terhadap China yang kini mencapai 145 peratus.
China membalas dengan menaikkan tarif ke atas barangan Amerika kepada 125 peratus mulai 12 April.
“
“JS-SEZ memberi peluang kepada perniagaan untuk meneroka cara memperkukuh rantaian bekalan mereka, supaya mereka dapat bertindak balas dengan lebih baik terhadap keadaan tidak menentu ini dan terus mengembangkan perniagaan mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg