Malaysia memulakan fasa pertama sistem semakan awal penumpang, Advance Passenger Screening System (APSS) pada 31 Oktober, membabitkan 10 syarikat penerbangan antarabangsa.
Ia termasuk Malaysia Airlines (MAS), Scoot (Singapura), VietJet Air (Vietnam), Emirates (UAE) dan US-Bangla Airlines (Bangladesh).
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menerusi APSS, maklumat penumpang akan disemak lebih awal sebelum mereka tiba di pintu masuk Malaysia.
Menurutnya ia bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti potensi risiko keselamatan lebih awal serta mengambil tindakan proaktif bagi memperkukuh aspek pencegahan di sempadan.
“Sistem ini merupakan sebahagian daripada reformasi kawalan imigresen yang membolehkan pengesanan awal individu berisiko tinggi sebelum ketibaan mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelaksanaan fasa pertama itu akan membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menilai keberkesanan operasi bersama syarikat penerbangan terlibat sebelum diperluas kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa menjelang Mac 2026.
“Jadual pelaksanaan turut dipercepat dari Disember ke Oktober 2025 bagi memastikan Malaysia mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta piawaian keselamatan global, di bawah Program Audit Keselamatan Sejagat – Pendekatan Pemantauan Berterusan (USAP – CMA) oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkukuh keselamatan negara melalui penggunaan data dan teknologi moden,” katanya.
Datuk Saifuddin menambah, pelaksanaan awal APSS turut menunjukkan komitmen Kerajaan Madani terhadap keselamatan rakyat serta kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran keselamatan serantau dan sejagat.
“Pendekatan berasaskan teknologi ini akan memperkukuh daya tahan negara dan memperkukuh imej Malaysia sebagai hab penerbangan serta pelancongan yang selamat dan moden,” ujarnya.
APSS merupakan inisiatif di bawah Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), dengan fasa pertama dikhususkan kepada penerbangan antarabangsa bagi menyaring serta menilai maklumat pengembara lebih awal sebelum ketibaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin pelaksanaan sistem itu akan menjadi pemangkin reformasi digital dalam kawalan imigresen negara, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra rakyat.
Bagi tempoh Januari hingga September lalu, Malaysia sudah mengeluarkan 25,214 Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada warga asing pelbagai negara atas pelbagai sebab termasuk keselamatan dan tujuan lawatan yang meragukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg