Malaysia akan menggubal satu undang-undang baru bagi memastikan kelancaran kawalan sempadan di stesen Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersepadu (co-located) bagi projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang dijadual mula beroperasi pada Januari 2027.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dengan pendekatan bersepadu, pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama di stesen RTS Link Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura, akan menyaksikan penempatan pegawai imigresen Malaysia dalam sempadan Singapura dan juga sebaliknya.
Justeru, beliau berkata undang-undang baru perlu dibentangkan pada sidang Parlimen pada Februari 2026.
Ia khusus bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama oleh pihak berkuasa Malaysia-Singapura di kededua stesen RTS Link Johor-Singapura.
“Jika tidak, kita perlu meminda 37 akta berbeza yang melibatkan seksyen-seksyen berkaitan dalam kawalan sempadan.
“Oleh itu, pilihan terbaik ialah menggubal undang-undang baru yang merangkumi semua keperluan membabitkan sempadan yang perlu diubah dengan pengoperasian kawalan sempadan secara bersama antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran satu inisiatif Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia sempena sambutan bulan kebangsaan negara, ‘Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, Di Sempadan Kita Bermaruah’ di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 26 Ogos.
Datuk Saifuddin Nasution berkata AKPS akan bertindak sebagai agensi tunggal barisan hadapan di kedua-dua stesen RTS Link Johor Bahru-Singapura itu.
Projek RTS Link akan memendekkan masa perjalanan antara Bukit Chagar dengan Woodlands North dalam masa hanya kira-kira lima minit.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata selaras dengan peranan AKPS sebagai agensi kawalan sempadan tunggal di 21 pintu masuk Malaysia sejak Januari 2025 sehingga kini, seramai 17,658 warga asing telah dikenakan notis penolakan masuk atas pelbagai sebab.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 13,790 daripadanya adalah melalui KLIA.
“Dalam tempoh sama, jumlah rampasan barangan larangan dan tanpa permit di pintu masuk bernilai RM1.9 juta ($579,000),” katanya.
Menurut Datuk Saifuddin Nasution, AKPS akan mengambil alih sepenuhnya 123 pintu masuk rasmi ke Malaysia menjelang Januari 2026.
Beliau turut menambah, Malaysia ketika ini sedang membangunkan sistem saringan awal penumpang (APSS), dengan percubaan sistem itu dijangka dilakukan pada September hingga Oktober 2025.
Ia melibatkan 10 syarikat penerbangan daripada keseluruhan 56 syarikat yang beroperasi di Malaysia.
APSS ialah sistem yang merekodkan maklumat penumpang seperti nama, nombor pasport, tempat duduk, serta tempahan makanan sebelum penumpang berlepas, sekali gus meningkatkan kepatuhan keselamatan dan mengurangkan risiko insiden keselamatan serta memudahkan langkah mitigasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg