KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan pilihan raya di Malaysia boleh dilakukan secara dalam talian, atau e-voting, pada masa depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pelaksanaannya bagaimanapun masih memerlukan penelitian menyeluruh, terutama mengenai tahap kepercayaan dan keyakinan awam terhadap sistem e-voting itu.

Katanya pelaksanaan sistem itu membabitkan beberapa aspek penting, antaranya keselamatan siber, integriti proses pilihan raya, kerahsiaan undi, kesiapsiagaan prasarana dan pindaan undang-undang, jika diperlukan.

“SPR sedang meneliti kemungkinan pelaksanaan e-voting sebelum ia dilaksanakan di Malaysia.

“Antara perkara sedang diteliti termasuk pengalaman negara lain, perkembangan teknologi sedia ada, aspek keselamatan dan integriti sistem serta tahap kesediaan masyarakat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Malaysia sejak 1957 mengekalkan sistem politik pelbagai parti, dengan parti yang memperoleh undi paling banyak kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh membentuk Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Sistem digunakan berasaskan first-past-the-post, atau pemenang undi terbanyak, iaitu mana-mana calon memperoleh majoriti akan diisytiharkan sebagai pemenang di bahagian pilihan raya berkenaan.

Pilihan raya umum (PRU) diadakan apabila Parlimen atau DUN dibubarkan atau terbubar sendiri, manakala pilihan raya kecil pula berlaku bagi mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen atau DUN.

Pada hari pengundian, pemilih berdaftar akan keluar mengundi di pusat ditetapkan, antara 8 pagi dengan 6 petang untuk di Semenanjung, manakala 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Datuk Ramlan berkata projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik bagi Rekod Kehadiran Pemilih (OCR-VA), bagi merekodkan kehadiran pengundi yang mula dilaksanakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, mencapai objektif ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan sistem itu di tujuh saluran pengundian di Sekolah Menengah Agama Dato’ Kelana Petra Maamor, Ampangan, di Seremban, mampu membuat penilaian awal bagi pengujian dan penggunaan OCR-VA untuk memperkemas proses pengesahan kehadiran pemilih di saluran mengundi.

Beliau berkata gambaran diberikan tepat dan secara masa nyata bagi kehadiran pengundi, namun beberapa penilaian lanjut dan perincian perlu dilaksana.

“Semua dapatan projek rintis ini sedang diperhalusi, meliputi aspek teknikal, operasi, keselamatan data, kebolehpercayaan sistem, keberkesanan kepada petugas serta pengalaman pengundi sendiri.

“Jika penilaian keseluruhan menunjukkan sistem ini benar-benar memberikan nilai tambah kepada pengurusan pilihan raya, SPR akan mempertimbangkan pelaksanaannya secara lebih meluas pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.