PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus daripada 2.7 juta pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 11 Julai berdasarkan sambutan sepanjang tempoh berkempen.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Haron, berkata sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran mengundi akan dibuka di seluruh Johor dan penutupan pusat mengundi adalah berbeza mengikut lokasi.

“Yang paling awal adalah pada 11 pagi di Pulau Besar, Mersing, diikuti Pulau Aur dan Pulau Pemanggil pada pukul 12 tengah hari.

“Sebanyak 17 pusat mengundi pula ditutup pada 2 petang, 42 pusat mengundi pada 4 petang dan selebihnya, iaitu 1,114 pusat mengundi, akan ditutup pada 6 petang,” katanya kepada pihak media selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Serbaguna Permas, di Pontian, Johor pada 10 Julai.

Menurut Datuk Ramlan, seramai 43,046 petugas SPR daripada Pegawai Pengurus sehingga kerani pengundian digerakkan selain pihaknya turut mengeluarkan 24,677 kertas undi pos yang perlu diterima semula sebelum 6 petang pada 11 Julai untuk dikira, lapor Kosmo!.

Mengulas mengenai aduan berkaitan pilihan raya, beliau berkata, SPR menerima 753 aduan sepanjang tempoh kempen, selain 63 laporan polis dan tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pemeriksaan ketika proses semakan peti undi di Dewan Serbaguna Permas, Pontian.
Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pemeriksaan ketika proses semakan peti undi di Dewan Serbaguna Permas, Pontian. - Foto FACEBOOK SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

Terdahulu, SPR dalam satu kenyataan meminta semua majikan memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang layak mengundi bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor ke-16 pada 11 Julai.

Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan orang ramai bahawa terdapat kemungkinan segelintir majikan tidak membenarkan pekerja mereka keluar mengundi.

Menurut kenyataan itu, setiap pekerja yang berdaftar sebagai pemilih perlu diberikan peluang sewajarnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara pada hari pengundian.

SPR turut mengingatkan semua majikan supaya mematuhi Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), yang memperuntukkan majikan hendaklah memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja untuk keluar mengundi.

Menurut SPR, majikan juga tidak dibenarkan membuat sebarang potongan gaji, saraan atau mengenakan apa-apa penalti terhadap pekerja semata-mata kerana mereka menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan memberikan tempoh yang munasabah atau menghalang pekerja daripada mengundi adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 ($1,586) atau dipenjarakan selama tempoh setahun,” menurut kenyataan itu.