Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia perlu agresif kuat kuasa akta, elak kanak-kanak ketagih ‘vape’

Oct 6, 2024 | 5:30 AM
E-rokok atau ‘vape’
E-rokok atau ‘vape’ - Foto fail

Pada 1 Oktober, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam yang turut termasuk rokok elektronik (e-rokok) atau vape.

Kepentingan penguatkuasaannya tidak dapat dinafikan lagi apatah lagi dapatan utama Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 mendapati prevalens pengguna e-rokok semasa meningkat secara drastik daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus (2023).

Prevalens dwipengguna, iaitu tembakau dan e-rokok, pula meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus (2023). Malah, prevalens pengguna e-rokok dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun juga meningkat kepada 8.6 peratus pada 2023 berbanding 1.1 peratus (2011).

Walaupun e-rokok tidak menghasilkan tar dan karbon monoksida seperti rokok, ia masih mengandungi nikotin serta bahan kimia lain berpotensi berbahaya.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati tiada bukti e-rokok membantu perokok berhenti, malah mendorong ketagihan nikotin dalam kalangan bukan perokok, terutama kanak-kanak dan orang muda.

Hakikatnya kanak-kanak sedang ‘direkrut’ dan terperangkap pada usia awal menggunakan e-rokok, sekali gus mungkin terpengaruh dengan nikotin kerana syarikat industri tembakau mendakwa e-rokok menimbulkan risiko kesihatan jauh lebih rendah daripada tembakau dan boleh membantu mengurangkan bahayanya, dengan beberapa perisa dan harga lebih rendah penting untuk menggalakkan perokok beralih kepada e-rokok.

Dilaporkan seramai tiga juta individu bergelar penghisap vape dengan lima juta perokok yang majoritinya kanak-kanak dan remaja. Satu kajian pada awal 2023 hingga Mei 2023 mendapati 3,000 daripada 5,000 pelajar seluruh negara termasuk kolej, institusi pengajian tinggi (IPT) mengaku mengambil vape dengan 75 peratus asalnya bukanlah perokok.

Ia melaporkan penghisap vape dan rokok adalah seawal kanak-kanak lapan tahun, selain remaja 13 tahun. Perkara ini sangat membimbangkan kerana kanak-kanak dan remaja menggunakan e-rokok berisiko menghidap penyakit darah tinggi dan serangan jantung, seterusnya menjejaskan pertumbuhan otak.

Cecair nikotin terdapat dalam e-rokok berupaya menyebabkan ketagihan dan memberi kesan kepada sistem imuniti, jantung, salur darah, sistem reproduktif, buah pinggang serta otak.

Bahan kimia lain turut dimasukkan adalah propylene glycol, glycerine dan perisa tambahan, manakala terdapat juga campuran seperti acetaldehyde, formaldehyde, vitamin E acetate, acrolein serta logam boleh memudaratkan kesihatan.

Bukti klinikal menunjukkan bahan kimia dalam e-rokok seperti vitamin E acetate boleh membawa kecederaan paru-paru iaitu e-cigarette or vaping use-associated lung injury (EVALI). Pesakit mengalami EVALI akan demam, batuk, sakit dada, kesukaran bernafas dan paras oksigen dalam badan rendah yang boleh membawa kepada kematian.

Paling membimbangkan, ketagihan kepada nikotin berpotensi meningkatkan risiko golongan ini bertukar kepada rokok tembakau pada masa hadapan. Dalam jangka panjang, kos rawatan perlu ditanggung kerajaan seperti ketagihan nikotin dan dadah berbahaya, kecederaan paru-paru serta masalah perubatan lain akan meningkat.

Satu kumpulan Austria menegaskan e-rokok diambil bersama nikotin mencetuskan ketagihan tinggi. E-rokok secara agresif dipromosi kepada orang muda melalui media sosial dan pempengaruh. Kanak-kanak terutamanya disasarkan menerusi karektor kartun, ketersediaan sekurang-kurangnya 16,000 perasa dan e-rokok menyerupai mainan, gula-gula serta peralatan persekolahan.

Justeru, WHO menggesa semua kerajaan mengawal e-rokok sama seperti tembakau dan mengharamkan semua perisa untuk mengancam syarikat rokok terhadap alternatif merokok.

Di Malaysia, dari 2015 hingga Ogos 2023, 69 kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan dengan golongan remaja mudah mendapatkan e-rokok daripada kedai runcit serta kedai vape.

Lebih menakutkan, semakin banyak e-rokok dijual dalam talian tanpa kawalan, sekali gus menunjukkan betapa mudahnya akses e-rokok kepada golongan muda.

Justeru, langkah KKM menguatkuasakan Akta 852 bertepatan dan perlu disokong semua pihak kerana akan menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape ke atas kanak-kanak bawah umur.

Paling utama, akta ini membabitkan penguatkuasaan Seksyen 13 antara lain menghalang sebarang penjualan produk berkaitan tembakau serta nikotin kepada kanak-kanak.

Seksyen 17 menjadikan perbuatan menghisap atau menggunakan sebarang produk berasaskan tembakau atau produk pengganti tembakau dalam kalangan individu berusia bawah 18 tahun sebagai kesalahan melalui larangan penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelakkan ia dibeli orang belum dewasa, iaitu individu berusia di bawah 18 tahun lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Usaha melawan tabiat merokok memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat dengan penyertaan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru, peruncit, ahli politik, agensi penguatkuasaan serta rakyat.

Kanak-kanak dan remaja perlu dilindungi serta tidak didedahkan dengan perkara boleh memudaratkan tahap kesihatan, menjejaskan pencapaian akademik dan masa hadapan mereka.

Justeru dengan terwartanya akta ini, KKM perlu lebih agresif dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi membendung dan mencegah pendedahan e-rokok termasuk penjualan produk berkenaan ke atas golongan muda terutama kanak-kanak.

Penulis ialah Profesor Madya Institut Pengajian Sains Sosial, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg