Kes keracunan magic mushroom oleh seorang remaja di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini, sebenarnya tidak mengejutkan kerana sehingga kini masih belum ada undang-undang berkesan mengawal penjualan dan akses ‘vape’ serta e-rokok bukan sahaja kepada golongan itu, bahkan kanak-kanak di Malaysia.
Selain kes itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 17 kes penyakit paru-paru berpunca daripada rokok elektronik, termasuk ‘vape’ sehingga Jun 2023.
Pada masa sama, 69 kes keracunan ‘vape’ dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan dari 2015 hingga Ogos 2023.
Antaranya pada 30 Mei 2024, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami keracunan nikotin akut selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (‘vape’) jenis pakai buang dalam insiden di Bera, Pahang.
Kini terdapat pelbagai jenis peranti ‘vape’ dan e-rokok dijual di pasaran, antaranya sistem pod, mod dan pen kebanyakannya dalam sistem terbuka yang membolehkan pengguna menukar isian cecair ‘vape’ mengikut kesukaan mereka.
Penjualan ‘vape’ juga semakin kreatif apabila menyasarkan kanak-kanak dan remaja dengan bentuk menarik serta berperisa, namun masih boleh terdedah kepada isian cecair bernikotin dan dadah seperti magic mushroom ini.
Realitinya, kita di Malaysia sudah terlalu lama berada dalam kelompongan undang-undang bagi mengawal produk ‘vape’ dan e-rokok di pasaran menyebabkan penggunaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin tidak terkawal.
Ini dibuktikan dengan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2022 yang menunjukkan peningkatan e-rokok atau ‘vape’ sehingga 5 peratus, iaitu daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus (2022).
Peningkatan ketara ini turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan, iaitu daripada 2.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus (2022).
Golongan remaja ini mendapatkan ‘vape’ dan e-rokok daripada kedai runcit, serta kedai ‘vape’ khusus yang merangkumi 35 peratus, manakala sumber daripada rakan pula hampir sama, iaitu 30 peratus.
Malah, lebih menakutkan apabila semakin banyak ‘vape’ dijual dalam talian tanpa kawalan, sekali gus menunjukkan betapa mudahnya akses ‘vape’ dan e-rokok kepada golongan remaja.
Pendedahan terhadap ‘vape’ dan e-rokok juga bermula lebih awal, iaitu sejak usia kanak-kanak, apabila semakin ramai lelaki dewasa, termasuk ahli keluarga mereka yang menghisap ‘vape’ dan e-rokok di hadapan kanak-kanak ini.
Berbanding penjualan rokok dikawal melalui Akta Makanan 1983, sehingga kini tiada akta atau Rang Undang-Undang (RUU) khusus mengawal penjualan ‘vape’ di pasaran sedangkan ia sudah memasuki pasaran negara sejak 2012.
Lebih mengecewakan lagi apabila cecair nikotin dikeluarkan daripada senarai racun dalam Akta Racun pada 31 Mac 2024 bagi membuka ruang kepada percukaian ‘vape’ bermula tarikh sama.
Pada masa sama, undang-undang kerajaan tempatan berkenaan penjualan ‘vape’ juga berbeza mengikut negeri. Sehingga kini, hanya Johor mempunyai undang-undang tempatan melarang penjualan ‘vape’, namun di negeri lain pembukaan kedai ‘vape’ adalah tidak terkawal dan tidak berlesen.
Usaha untuk meningkatkan kawalan ke atas penjualan rokok dan ‘vape’ sudah dimulakan KKM semasa pembentangan RUU Generasi Penamat (GEG) yang dibuat mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaludin, pada 2022.
Namun, RUU ini digugurkan setelah dinilai sebanyak dua kali oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.
Akhirnya pada November 2023, barulah RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan mantan Menteri Kesihatan pada masa itu, Dr Zaliha Mustafa, dan diluluskan di Dewan Rakyat.
Malangnya, peruntukan GEG, iaitu untuk melarang anak yang lahir selepas 2007 secara terus daripada merokok dan menghisap ‘vape’ telah dikeluarkan.
Sehingga kini sudah hampir sembilan bulan RUU itu sedang digubal dan masih belum dikuatkuasakan, sekali gus menyebabkan peniaga ‘vape’ dan e-rokok mengambil kesempatan meningkatkan penjualan ‘candu beracun’ ini kepada remaja.
Justeru, kerajaan Malaysia hendaklah membuat penguatkuasaan undang-undang dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah. Selain itu, satu kajian menyeluruh berkenaan penjualan ‘vape’ kepada remaja dan kesannya kepada kesihatan hendaklah diadakan di sekolah seluruh negara.
Akhir sekali, kempen kesedaran bahaya ‘vape’ dan e-rokok hendaklah dipertingkatkan dan disemarakkan di sekolah sebagai kaedah pencegahan awal daripada ketagihan, seterusnya penyakit disebabkan menghisap ‘vape’ dan e-rokok.
Usaha bersepadu pelbagai agensi sangatlah diperlukan pada saat ini bagi menyelamatkan generasi masa depan negara daripada bahaya ‘vape’ dan e-rokok.
Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.
“
Justeru, kerajaan Malaysia hendaklah membuat penguatkuasaan undang-undang dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah... Usaha bersepadu pelbagai agensi sangatlah diperlukan pada saat ini bagi menyelamatkan generasi masa depan negara daripada bahaya ‘vape’ dan e-rokok.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg