KUALA LUMPUR: Antara 7,000 dengan 8,000 pelarian kaum Rohingya yang berada di Malaysia sebelum ini dihantar ke negara ketiga setiap tahun, namun proses penempatan semula itu kini terhenti susulan beberapa kekangan semasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata terdapat kerjasama antara kerajaan (G2G) dengan beberapa negara bagi membolehkan pelarian ditempatkan sementara di Malaysia, sebelum dihantar ke negara ketiga.

Menurutnya, mereka datang ke sini untuk transit sementara dan selepas itu akan dihantar ke negara ketiga yang memerlukan khidmat mereka, sama ada tugas profesional atau tenaga kerja.

“Pada masa lalu, kadangkala dalam tempoh setahun itu, kita menghantar lebih kurang 7,000 hingga 8,000 orang ke negara ketiga. Tapi sekarang dengan keadaan sebegini, banyak usaha sudah terhenti.

“Akhir-akhir ini, disebabkan masalah tertentu, kita menghadapi masalah dan pergerakan mereka ke negara ketiga itu nampaknya terhenti.

“Jadi inilah yang menimbulkan beberapa isu dan kita sedia maklum negara seperti Myanmar ini berada dalam suasana yang sukar dan perbincangan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya ia dapat diatasi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program PB Scam Rangers: Perangi Scam–Dua Pasukan, Satu Matlamat 2026, di Kuala Lumpur, pada 15 Jun.

Isu lambakan pelarian Rohingya di Malaysia menjadi perdebatan hangat masyarakat mutakhir ini, termasuk dengan banyak kes jenayah dan pelanggaran undang-undang, sehingga menimbulkan desakan supaya kerajaan menghantar pulang atau memindahkan mereka daripada Malaysia.

Tan Sri Mohd Khalid berkata isu pelarian Rohingya perlu dilihat secara menyeluruh termasuk daripada sudut kemanusiaan, selain kepentingan menjaga keselamatan negara.

Bagaimanapun katanya, semua warga asing termasuk pelarian yang berada di negara ini tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan data pelarian turut direkodkan bagi tujuan pemantauan untuk sebarang tindakan lanjut.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan kira-kira 215,000 pelarian etnik Rohingya yang berdaftar di Malaysia.

“Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan akan diambil seperti mana orang lain yang datang ke negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mendedahkan hampir setiap hari warga Myanmar termasuk etnik Rohingya cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui Tak Bai, Thailand.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, mereka juga mengubah modus operandi daripada menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok di sempadan Kelantan-Thailand, kepada laluan laut selepas penutupan pangkalan haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pula berkata seramai 300 individu etnik Rohingya ditahan kerana terbabit dalam aktiviti jenayah di Selangor sepanjang 2025 hingga Mei 2026, dan disiasat atas pelbagai kes jenayah, antaranya kekerasan dan harta benda.