Belanjawan 2025 Malaysia yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Oktober, menyaksikan peningkatan jumlah peruntukan sebanyak 3.3 peratus kepada RM421 bilion ($127.8 bilion), berbanding Belanjawan 2024.
Daripada jumlah itu, RM335 bilion adalah peruntukan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan.
Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2025 bertema, ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ itu akan memberi lebih penekanan terhadap usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama.
Menurut beliau, meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan, kedudukan ekonomi Malaysia kalis tantangan dan terus mengukuh.
Datuk Anwar berkata kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan berkembang kukuh antara 4.5 dengan 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan Madani Ketiga 2025.
Menurut Datuk Anwar, kerajaan juga menjangkakan kutipan hasil 2025 terus meningkat kepada RM340 bilion.
Mengambil kira tekanan ekonomi sejagat yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara, Datuk Anwar menegaskan kini bukan masanya melaksanakan projek mega, sebaliknya pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat.
Antara yang paling menarik tumpuan dalam Belanjawan 2025 ialah peningkatan gaji dan sumbangan tunai oleh kerajaan, peruntukan untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, selain penyasaran subsidi petrol.
Belanjawan 2025 membawa berita gembira buat kelompok pekerja swasta yang bakal menikmati kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 ketika ini, berkuat kuasa 1 Februari 2025.
Bagaimanapun Datuk Anwar berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Datuk Anwar turut mengumumkan kadar pendapatan minimum RM2,115 sebulan bagi penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.
Untuk 2025, Datuk Anwar berkata kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) iaitu kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion ketika ini, yang akan memanfaatkan sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Persoalan ramai berkait penyasaran subsidi petrol juga terjawab pada pembentangan belanjawan itu apabila Datuk Anwar memaklumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.
Menurut beliau, penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi petrol RON95 akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
“Kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.
“Seyogia diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 seliter, berbanding negara jiran seperti Thailand (RM5.85/liter); Indonesia (RM3.38/liter); Singapura (RM9.02/liter) dan Arab Saudi (RM2.66/liter).
Namun, kata Datuk Anwar kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.
“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat. Maknanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat,” katanya.
Dalam pada itu kerajaan juga memperuntuk RM1 bilion bagi memperhebat usaha menangani kos sara hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Payung Rahmah.
Menurut Datuk Anwar, daripada jumlah itu, RM300 juta akan disalurkan khusus untuk Program Payung Rahmah, meningkat daripada RM200 juta sebelum ini, manakala baki adalah menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas.
Belanjawan 2025 juga memperuntukkan sejumlah RM600 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani musibah banjir.
“Ini termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg