Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia rancang sistem LRT atau trem-bas untuk kurangi sesak di JB bila RTS Link siap

Feb 2, 2025 | 4:23 PM
RTS Link melintasi Selat Johor, seperti yang dilihat dari sebuah kondominium di Johor Bahru, pada Februari 2024.
RTS Link melintasi Selat Johor, seperti yang dilihat dari sebuah kondominium di Johor Bahru, pada Februari 2024. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang meninjau rancangan membina satu rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) atau satu rangkaian bas-trem di Johor Bahru dan daerah sekitarnya, sebagai langkah mengurangkan kesesakan sebaik sahaja Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) dari Woodlands siap.

Ini juga akan menambah baik rangkaian pengangkutan awam ibu negeri Johor itu untuk penduduk, pelawat dan pekerjanya.

Malahan, kerajaan persekutuan bercadang menjemput sektor swasta bagi mengemukakan usulan mereka dalam tempoh empat bulan akan datang bagi membincangkan bagaimana salah satu rangkaian itu akan dibina, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kepada The Straits Times (ST).

“Garis masa yang diberi kepada kami oleh kerajaan bagi memulakan latihan Permohonan Bagi Mendapatkan Saranan (RFP) adalah suku kedua tahun ini (2025),” katanya.

Ini akan membantu dalam menilai kebolehlaksanaan dua projek – LRT dan satu sistem bas-trem bertingkat tanpa pemandu yang dipanggil pengangkutan laju berautonomi (ART) yang berjalan di landasan maya, merentasi jambatan dan jejambat.

Kedua-dua rangkaian itu boleh menelan belanja sekitar RM7 bilion ($2.1 bilion) bagi LRT dan RM20 bilion bagi ART, katanya.

Projek seterusnya boleh dibiayai sepenuhnya secara swasta, atau diusahakan hasil kerjasama sektor kerajaan-swasta, kata Encik Fazli.

Jika laluan LRT itu dibina di Johor, ia akan menjadi laluan LRT ketiga di Malaysia, selepas wilayah Lembah Klang di sekitar Kuala Lumpur, dan sistem LRT Pulau Pinang yang melancarkan majlis pembetonannya pada Januari.

“Walaupun kerajaan persekutuan telah bersetuju dengan cadangan kami mengenai sistem ART itu, terdapat juga kemungkinan untuk membina LRT yang bergantung kepada usulan syarikat,” kata Encik Fazli.

“Ideanya adalah untuk menyiapkannya dalam masa dua tahun, sejajar dengan selesainya pembinaan RTS Link untuk mengurangkan kesesakan di Stesen Bukit Chagar,” katanya.

Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, yang menyelia projek pengangkutan negeri, tidak menjawab pertanyaan ST.

Pelan LRT dan ART yang bercita-cita tinggi itu dibentangkan ketika pegawai berkuasa tidak sabar menunggu RTS Link yang akan menghubungkan Stesen MRT Woodlands North di Singapura ke Stesen Johor Bahru di Bukit Chagar. Perkhidmatan ulang-alik rel rentas sempadan sejauh 4 kilometer itu dijangka siap pada penghujung 2026.

RTS Link itu dapat menampung 10,000 penumpang sejam dalam satu arah, dengan jangkaan 40,000 penumpang setiap hari apabila dibuka.

Stesen MRT Woodlands North juga merupakan perhentian utara Laluan Thomson–East Coast.

Namun, masih tidak jelas sama ada rangkaian LRT atau ART yang dicadangkan boleh disiapkan tepat pada masanya, selaras dengan RTS Link.

Encik Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, berkata salah satu rangkaian boleh menjadi sistem penyebaran yang berguna untuk RTS Link supaya orang ramai boleh berulang-alik dengan cepat antara rumah dengan tempat kerja mereka di Johor dan Singapura.

“Apabila ramai penumpang harian mula tiba di Bukit Chagar, persoalannya ialah: Bagaimana kita memastikan mereka bergerak dengan tangkas ke bahagian lain di Johor Bahru? Dengan hanya bergantung kepada kenderaan milik peribadi atau teksi boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas baru, terutama di sekitar kawasan stesen,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg