Pemasangan sistem rel bagi projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) dijangka bermula pada hujung 2024 seperti dijadualkan, dengan kemajuan baik dicapai di kedua-dua belah Selat Johor.
Fasa itu akan merangkumi kerja pembinaan landasan dan pemasangan sistem isyarat, komunikasi dan bekalan kuasa tarikan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Mass Rapid Transit Corporation Malaysia (MRT Corp) dan RTS Operations (RTSO) dalam satu kenyataan bersama.
RTSO adalah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan pada 2020 oleh pengendali rel Singapura, SMRT, dan syarikat pengangkutan awam Malaysia, Prasarana, bagi mengendalikan perkhidmatan pengangkutan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer itu.
Lebih 80 peratus kerja prasarana awam telah siap di bahagian Singapura projek itu, manakala di Malaysia 93 peratus telah siap, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 29 November itu.
Dengan jejambat marin dan darat hampir siap, RTSO akan diberi akses kepada prasarana awam dalam kawasan Singapura oleh LTA secara berperingkat bermula hujung 2024.
Baki kerja di Singapura, seperti kerja seni bina, kerja jalan raya dan pemasangan sistem utama seperti pintu imigresen, akan dilaksana serentak dengan kerja struktur lain.
Selain itu, kerja pembinaan untuk menyambungkan RTS Link dengan stesen Woodlands North di laluan MRT Thomson-East Coast, di tingkat bawah satu (B1) bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Woodlands North, akan bermula pada 2025. Perkhidmatan penumpang di RTS Link dijangka bermula menjelang Disember 2026.
Di Malaysia, MRT Corp telah memberi akses lebih awal dari jadual kepada RTSO bagi pembinaan landasan di depoh penyelenggaraan RTS Link di Wadi Hana, Johor Bahru, sejak 30 September. Akses kepada prasarana rel di Malaysia akan diserahkan kepada RTSO secara berperingkat bermula hujung 2024.
Pada awal 2025, kerja di bahagian Malaysia akan tertumpu kepada penyediaan depoh, stesen dan kompleks imigresen di Bukit Chagar, kata pihak terlibat.
Pada 2021, sembilan kontrak bernilai sekitar $320 juta diberikan untuk sistem rel RTS Link. Empat kontrak utama melibatkan syarikat China, CRRC Zhuzhou Locomotive, bagi kereta api; anak syarikat Siemens Mobility di Malaysia dan Singapura untuk sistem isyarat; syarikat Malaysia, Sapura Rail Systems, bagi sistem komunikasi; dan juga Pestech untuk sistem kuasa tarikan yang membekalkan elektrik kepada kereta api.
Apabila siap, RTS Link dapat menampung hingga 10,000 penumpang dalam sejam di kedua-dua arah antara Bukit Chagar dengan Woodlands North. Ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, yang mengendalikan lebih 400,000 lintasan setiap hari pada waktu sibuk.
Bagi pengalaman perjalanan lebih lancar di RTS Link, kemudahan CIQ di Singapura dan Malaysia akan digabungkan dalam satu bangunan di Woodlands North dan Bukit Chagar.
Ini bermakna penumpang hanya perlu menjalani pemeriksaan imigresen sekali sahaja – di tempat mereka berangkat – dan tidak perlu melalui pemeriksaan imigresen sekali lagi apabila mereka tiba. Perjalanan kereta api antara dua stesen tu dijangka mengambil masa sekitar lima minit.
Dengan RTS Link kini disambungkan sepenuhnya antara Wadi Hana di Johor Bahru dengan Woodlands North, LTA dan MRT Corp telah membina sebuah struktur peringatan berhampiran tempat bahagian jejambat rel Singapura dan Malaysia bersambung. Struktur itu menggambarkan dua tangan berjabat, melambangkan perkongsian rapat dan hubungan kukuh antara dua negara ini, kata LTA, MRT Corp dan RTSO.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg