Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia terbuka gubal undang-undang jerebu rentas sempadan seperti S’pura
Namun penguatkuasaan jadi cabaran; kaedah dan mekanisme jelas diperlukan agar ia dapat dilaksana dengan berkesan
M’sia terbuka gubal undang-undang jerebu rentas sempadan seperti S’pura
KUALA LUMPUR: Malaysia terbuka untuk menggubal undang-undang bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan seperti yang dilaksanakan Singapura, namun kesukaran mendapatkan bukti mencukupi untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap kebakaran masih menjadi cabaran utama.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata pada dasarnya tiada halangan untuk memperkenalkan undang-undang sedemikian, tetapi kaedah dan mekanisme yang jelas diperlukan bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Jika ditanya sama ada kita boleh memperkenalkan undang-undang seperti yang dilakukan Singapura, jawapannya boleh. Tiada halangan sekiranya kita memutuskan bahawa undang-undang sedemikian diperlukan.
“Namun, apabila menggubal sesuatu akta, mesti ada kaedah dan mekanisme bagi memastikan undang-undang itu benar-benar diperlukan, boleh dikuatkuasakan dan akhirnya berfungsi sebagai alat penguatkuasaan yang membolehkan hukuman dikenakan serta tindakan undang-undang diambil.
“Dalam hal ini, cabaran utama dalam menguatkuasakan undang-undang sedemikian ialah mendapatkan bukti mencukupi untuk menentukan punca pencemaran dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 21 Oktober.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi daripada Pakatan Harapan (PH), Encik Syahredzan Johan, yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan cadangan menggubal undang-undang berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan.
Encik Syahredzan turut bertanya sama ada kerajaan akan mengkaji sebarang kelemahan dalam Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura yang telah berkuat kuasa sejak 2014, lapor The Star.
Encik Syed Ibrahim berkata penguatkuasaan undang-undang sedemikian memerlukan maklumat mengenai koordinat lokasi kebakaran, pemilikan tanah dan pihak yang menjalankan kegiatan di kawasan terjejas, selain bukti yang mengaitkan kebakaran dengan pencemaran jerebu yang berlaku.
Menurut beliau, usaha mendapatkan maklumat berkenaan memerlukan siasatan dan penelitian yang mendalam.
“Antara tujuan undang-undang adalah untuk memberikan kesan pencegahan kepada pihak yang terlibat dalam pembakaran terbuka, khususnya apabila kegiatan mereka menjejas kesejahteraan dan kesihatan bukan sahaja rakyat negara sendiri, malah penduduk negara jiran serta seluruh rantau Asean.
“Kita mesti meneruskan usaha ini kerana masalah berkenaan akan berulang sekiranya kita gagal mewujudkan mekanisme yang menyeluruh.
“Kita mempunyai Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) serta wawasan untuk mencapai rantau bebas jerebu menjelang 2030.
“Usaha diplomatik juga sedang diteruskan, termasuk diplomasi sains dan dana jerebu. Semua ini merupakan antara inisiatif yang diharapkan dapat membantu kita menangani masalah pencemaran jerebu rentas sempadan,” katanya.
Dalam jawapan terdahulu, Encik Syed Ibrahim berkata Indonesia telah bersetuju menerima tawaran bantuan Malaysia untuk menangani kebakaran, termasuk di Kalimantan dan Sumatera.