Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahap PSI tidak sihat jejas sebahagian besar S’pura selepas mutu udara merosot
Tahap PSI tidak sihat jejas sebahagian besar S’pura selepas mutu udara merosot
Mutu udara di Singapura merosot pada 20 Oktober, dengan empat daripada lima daerah menghadapi tahap pencemaran udara tidak sihat.
Pada 2 petang, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam menunjukkan mutu udara sederhana di utara (89) dan tahap tidak sihat di seluruh daerah selatan (103), timur (104), barat (136) dan tengah (122).
Mutu udara dianggap sederhana apabila bacaan PSI berada antara 51 dengan 100, tidak sihat apabila berada antara 101 dengan 200, dan memasuki julat sangat tidak sihat apabila melepasi paras 200.
PSI merupakan purata berkala 24 jam bagi enam pencemar udara utama iaitu zarah halus PM10 dan PM2.5, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon serta karbon monoksida.
Keadaan ini berbeza berbanding 19 Oktober, apabila situasi jerebu bertambah baik buat sementara dengan tiga daripada lima daerah mencatatkan mutu udara sederhana bagi tempoh 24 jam yang berpanjangan sehingga 10 pagi pada 20 Oktober.
Keadaan telah bertambah baik berbanding minggu sebelumnya, apabila bacaan PSI kekal dalam julat tidak sihat atau sangat tidak sihat pada kebanyakan hari.
Sementara itu, tahap PM2.5 sejam turun naik antara julat normal dengan tinggi.
Pada 2 petang, beberapa daerah mencatat bacaan PM2.5 normal, termasuk utara (39) dan selatan (53), namun berada pada tahap meningkat di daerah timur (69), barat (111) dan tengah (83).
Pada 19 Oktober, bacaan PM2.5 seluruh negara berada pada paras normal dari tengah hari hingga 2 petang – buat kali pertama sejak 4 Oktober – sebelum melonjak ke julat meningkat di beberapa daerah pada lewat petang.
Bacaan PM2.5 sejam diukur dalam mikrogram setiap meter padu (μg/m³) dan menjadi ukuran bagi mutu udara semasa.
Bacaan sifar hingga 55 menunjukkan paras normal, manakala 56 hingga 150 menandakan kepekatan zarah halus yang meningkat.
Bacaan antara 151 dengan 250 pula dianggap tinggi, dan bacaan melebihi 251 dianggap sangat tinggi.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meramalkan mutu udara sederhana hingga tidak sihat bagi 20 Oktober, dengan paras PSI dijangka berada dalam julat 90 dengan 160.
Agensi itu menyatakan peralihan angin, yang bertiup dari arah selatan-tenggara, serta hujan berdekatan membantu membersihkan udara pada 19 Oktober.
Meskipun begitu, asap jerebu dari Kalimantan dan Sumatra di Indonesia masih kelihatan berhampiran Singapura.
Hujan dijangka turun di Singapura dan kawasan sekitarnya pada 20 Oktober, kata NEA, sambil menambah bahawa angin dari arah selatan-tenggara mungkin mengurangkan tiupan asap jerebu dari Kalimantan ke Singapura.
Namun, terdapat kemungkinan sebahagian asap jerebu dari Sumatra akan bertiup ke arah Singapura, menurut agensi itu.
Mutu udara berkemungkinan merosot dalam masa beberapa hari akan datang.
Dari malam 19 Oktober hingga 22 Oktober, angin dijangka beralih ke arah timur-tenggara dengan cuaca kering diramalkan melanda kawasan sekitarnya, termasuk sebahagian Kalimantan, kata NEA.
Keadaan ini boleh membawa asap jerebu daripada kebakaran di Kalimantan ke arah Singapura.
Singapura kini berdepan hari ke-16 mutu udara tidak sihat – mengatasi tempoh 14 hari berturut-turut ketika krisis jerebu 2015, di mana udara buruk berlanjutan dari 23 September hingga 7 Oktober.