KUALA LUMPUR: Malaysia menumpaskan sindiket dan kilang memproses bahan sisa elektronik (e-waste) di beberapa negeri yang membawa kepada tangkapan lebih 30 individu, rampasan pelbagai barangan bernilai lebih RM1.78 bilion ($540 juta), selain sebuah stor simpanan sisa elektronik di Labis, Johor, terbakar menyebabkan pencemaran.
Serbuan pihak berkuasa di sebuah premis memproses sisa elektronik di Telok Panglima Garang, Selangor, pada 15 Februari pula membawa kepada penemuan mengejutkan iaitu kira-kira 50 tan anak peluru, kelongsong serta peluru hidup yang disyaki diseludup masuk ke Malaysia.
Dalam serbuan menerusi Op Hazard pada 16 Februari di sebuah kilang memproses sisa elektronik haram di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput, Perak, seorang saintis warga China berusia 60 tahun merupakan antara 27 individu yang ditahan, yang membawa kepada penyitaan pelbagai barangan bernilai RM1.3 bilion.
Serbuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dekat kilang seluas 4.8 hektar itu menemukan sisa elektronik bersama beberapa mesin pemprosesan, peleburan, memasak sisa elektronik dan makmal memproses emas, kuprum, timah, tembaga serta lain-lain.
“Hasil siasatan mendapati bahan disyaki buangan terjadual di kilang terbabit dibawa masuk dari China dan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Bolivia, Oman dan Thailand melalui Pelabuhan Klang.
“Ia dihantar menggunakan kontena yang diisytiharkan sebagai barangan lain,” kata Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Perak, Penolong Pesuruhjaya Kanan Shahrum Hashim, lapor Berita Harian Malaysia.
Di Selangor, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata kilang haram di Telok Panglima Garang itu antara lima premis memproses sisa elektronik yang diserbu di negeri itu.
“Serbuan hasil daripada maklumat risikan yang mendapati kilang itu sudah beroperasi lebih kurang dua tahun melupuskan sisa elektronik secara haram.
“Kita temui sejumlah anak peluru, kelongsong peluru dan peluru hidup dipercayai bukan dari Malaysia dan cuba dilupuskan dengan dibakar serta diproses untuk menjadi tembaga dan jongkong timah,” katanya.
Di Pahang, Op Hazard menumpaskan sindiket pemprosesan sisa elektronik dan sisa berjadual yang beroperasi secara haram di dua kilang dekat Kuantan dan Pekan, membawa kepada pelbagai barangan termasuk mesin bernilai RM410 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, pula berkata pihak berkuasa menumpaskan sindiket menyimpan dan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik secara haram membabitkan nilai RM71.52 juta hasil serbuan tiga kilang di Desa Cemerlang Ulu Tiram dan Plentong, Johor, pada 14 Februari.
“Dalam serbuan terbabit, pihak berkuasa menahan dua lelaki, selain merampas 2,379 tan pelbagai jenis logam seperti besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, pula berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarahkan memantau kualiti udara di Labis, Segamat, susulan kebakaran stor haram sebagai yang menyimpan sisa elektronik bahan aluminium.
“JAS Johor sudah meletak alat pengukur mutu udara di Kampung Usaha Jaya, Labis, berikutan insiden itu dikhuatiri menyebabkan pencemaran berbahaya. Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor terpaksa menimbus api menggunakan tanah dan pasir selepas premis bahan kitar semula itu terbakar sejak 14 Februari.
“Operasi pemadaman api itu dilaporkan tidak dapat dilakukan dengan sumber air kerana boleh menghasilkan tindak balas kimia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg