KUALA LUMPUR: Encik Syed Nurul Fakhri menjual nasi kandar di bawah kanopi yang rapuh di bandar raya Petaling Jaya selama lima tahun, membuka gerainya pada waktu pagi dan menutupnya pada waktu petang bagi mengelak perkakasnya dicuri dalam sekelip mata.
Rutin itu berubah sebulan lalu (Mei) apabila beliau menerima kunci kios baru, berkuasa solar dengan lampu LED dan pintu boleh dikunci, di kawasan yang sama.
“Saya sangat berterima kasih atas kios ini. Sekarang saya boleh kunci barang-barang saya dan ia tidak akan hilang,” kata penjaja berusia 45 tahun itu kepada The Straits Times.
Persekitaran bersih dan kios serba baru telah membantu penjualan nasi kandarnya.
Sewa bulanan RM120 ($36) adalah “munasabah”, katanya, sambil menambah bahawa ia masih awal. Pendapatannya adalah sebanyak RM500 sehari sebelum ini.
Beliau adalah antara beribu-ribu penjaja jalanan Malaysia yang mencuba kios baru yang didirikan pihak kerajaan menerusi projek MyKiosk dengan kos RM150 juta.
Projek itu dilancarkan pada 2023 untuk memberi peluang kepada peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka secara sah, dalam persekitaran yang standard, selamat dan bersih, serta menempatkan semula mereka ke lokasi yang lebih strategik.
Penggerak utama projek itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, yang berkata kerajaan memberi peluang kepada peniaga kecil, yang kebanyakannya beroperasi dalam keadaan tidak terkawal.
Penjaja jalanan sering mendirikan gerai sementara di tepi jalan, menjual minuman, goreng pisang dan mi goreng.
“Dengan MyKiosk, kami ‘menghalalkan’ perniagaan mereka dengan menawarkan sewa percuma untuk enam bulan pertama dan (selepas itu) kadar sewa maksimum RM10 sehari,” kata Encik Nga pada awal Mei.
Seorang penjaja, Encik Mohd Azizan, yang menyewa kios di lokasi yang sama dengan Encik Syed Nurul, berkata: “Pelanggan kata tempat baru ini lebih bersih dan menarik. Ini lebih baik dan lebih selesa untuk saya juga.”
Sejak berpindah ke kiosnya pada 14 Mei, jualan harian rojak buahnya melonjak daripada RM100 kepada antara RM180 dengan RM200.
Namun, tidak semua penjaja mengalami nasib yang sama.
Cik Jamilah (bukan nama sebenar), pernah menjual nasi lemak di gerai bawah pokok berhampiran Jalan Tun Razak yang sibuk di ibu kota Kuala Lumpur selama dua tahun. Tiada sewa yang perlu dibayar, jadi beliau menikmati pendapatan yang baik.
“Jualan lebih baik di sana tetapi saya dihalau pihak berkuasa. Saya memohon (kios) ini kerana ia sah,” katanya.
Cik Jamilah berpindah ke kios RM300 sebulan di kawasan Lembah Klang pada September 2024.
Menurutnya, perniagaan masih “agak perlahan” dengan jualan sekitar RM300 hingga RM400 sehari berbanding kira-kira RM500 sebelum berpindah.
Walaupun projek MyKiosk secara amnya telah dipuji oleh orang ramai, namun sesetengah penjaja mengadu bilangan pelanggan dan pendapatan agak rendah serta menghadapi masalah kekurangan bekalan air dan elektrik.
Encik Nga memuji penggunaan panel solar di setiap kios kerana penjaja tidak perlu bayar bil elektrik, tetapi beberapa penjaja mendakwa kuasa solar yang dijana hanya bertahan sekitar empat jam pada waktu malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg