KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.
Datuk Anwar berkata deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian.
“Ada kedai yang rosak, ada yang teruk (keadaannya). Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan lihat dan segerakan (baik pulih). Ini kawasan tumpuan ramai.
“Ini boleh dilakukan dan diselesaikan menggunakan kaedah fast track (pantas) bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan pada masa sama, membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka,” katanya selepas meninjau sekitar Jalan Masjid India pada 10 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Datuk Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid India yang turut dihadiri sekitar 5,000 anggota jemaah.
Selain lot perniagaan yang agak usang dan lama, Jalan Masjid India yang dulu popular sebagai lokasi pelancongan dalam kalangan warga tempatan dan pengunjung asing antaranya dari Singapura, India, Indonesia dan Jepun semakin suram selepas tragedi lubang benam yang mengorbankan seorang pelancong warga India.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi pada 23 Ogos 2024 itu, Cik G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, hilang tanpa jejak selepas seminggu pihak berkuasa menjalankan usaha mencari dan menyelamat, termasuk menyelam ke dalam air kumbahan sedalam dua meter dan sejauh tujuh kilometer ke loji kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun ia tidak membuahkan hasil.
Berikutan itu, ramai khuatir untuk mengunjungi Jalan Masjid India kerana bimbang atas sebab keselamatan.
Menyusuli kejadian malang itu, kerajaan Malaysia menjalankan audit integriti untuk melihat keseluruhan sistem saliran di Jalan Masjid India dan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan awam.
Walaupun keadaan semakin pulih, banyak perniagaan di Jalan Masjid India terutama pengusaha barangan kemas, pakaian dan perhotelan mengakui masih bergelut dengan kesan kejadian yang menyebabkan Jalan Masjid India kurang menerima pengunjung dan pelancong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg