Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-72 melabuhkan tirainya pada 5 September dengan sebulat suara meluluskan usul memperkasa agenda Penyatuan Ummah ke arah pengukuhan kekuatan politik Melayu/Islam dan kestabilan Malaysia, terutama dalam usaha menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

Namun, pimpinan PAS mengakui komitmen itu bakal diuji apabila rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya bermula.

Dalam usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) pada hari terakhir muktamar parti itu pada 5 September, ia dikemukakan atas kesedaran bahawa kesatuan umat Islam merupakan antara asas penting kepada kekuatan umat, kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan negara.

Wakil DUPP, Encik Zulqarnain Hassan, ketika membentangkan usul itu berkata perpecahan politik dan persaingan kepartian berpanjangan boleh melemahkan kekuatan umat serta keupayaan menentukan hala tuju negara.

Lebih signifikan, DUPP menggesa parti itu memperkukuh kerjasama strategik politik Melayu/Islam, termasuk strategi menghadapi PRU bagi mengurangkan perpecahan undi Melayu/Islam.

Cadangan itu hadir ketika hubungan PAS dan Umno dilihat kembali menunjukkan perkembangan positif, dengan pimpinan kedua-dua parti semakin terbuka kepada usaha mencari titik persamaan atas nama penyatuan ummah.

Namun Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam ucapan penggulungannya mengingatkan seluruh ahli parti supaya kekal patuh dan mematuhi keputusan kepimpinan, khususnya apabila rundingan kerusi menjadi cabaran dalam merealisasikan agenda penyatuan ummah itu.

Beliau berkata keputusan sebulat suara menyokong pengukuhan penyatuan ummah, termasuk kerjasama politik antara PAS dan Umno, akan diuji apabila tiba masanya rundingan pembahagian kerusi pilihan raya dibuat.

“Biasanya perundingan kerusi akan menjadi masalah setiap kali berlaku kerjasama politik.

“Waktu itu kita semua akan dituntut supaya keputusan yang kita buat hari ini mesti didokongi dengan wala’ dan taat kepada keputusan parti,” katanya pada muktamar yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu, Kelantan itu.

Katanya, Jawatankuasa Penyatuan Ummah dan Jawatankuasa Perundingan Kerusi yang diwujudkan parti merupakan antara badan penting untuk melaksanakan keputusan serta resolusi yang telah dipersetujui.

“Resolusi penyatuan ummah mesti digerakkan supaya menjadi agen kepada agenda dan keputusan tersebut.

“Demikian juga dalam konteks pilihan raya, jawatankuasa pilihan kerusi adalah badan yang telah diangkat oleh parti untuk melihat keseluruhan keadaan, bukan hanya kerusi yang kita menang.

“InsyaAllah, PAS akan mempertahankan kerusi yang telah kita menangi, tetapi pada masa sama kita perlu melihat perkara yang lebih besar, iaitu toleransi (dengan pihak yang PAS bekerjasama) bagi mengimbangi kekuatan,” katanya.

Beliau memberi contoh pengalaman PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila parti itu bersama BN mengekalkan kerusi yang dimenangi masing-masing, selain membahagikan kerusi yang belum dimenangi.

“Natijahnya kita mendapat apa yang kita hasratkan, iaitu kita berjaya memenangi dan bersama mentadbir Negeri Sembilan dengan BN.

“Tahun 1990, kita adakan kerjasama politik dengan Semangat 46 dan berjaya tawan Kelantan. 1999 kita berjaya tawan Terengganu dan Kedah dan akan datang kita akan berjaya tawan Putrajaya dengan keberkatan,” katanya.

Dalam ucapan dasar Presiden pada majlis perasmian muktamar itu pada 4 September, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu akan mempertahankan semua kerusi dan negeri dimenangi pada pilihan raya lalu, walau menjalin kerjasama politik dengan pihak lain.

Ini turut diulangi Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam ucapan penggulungannya pada 5 September, bahawa PAS tidak akan menyerahkan kerusi dimenangi parti itu kepada parti lain.

“Kita akan tentukan kerusi boleh menang dan kawasan yang PAS boleh menang. Kita jangan lepas kerusi itu pada sesiapa pun,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu turut mengingatkan PAS untuk tidak kembali kepada keadaan di mana kekuatan dan sokongan yang dimiliki tidak diterjemahkan sepenuhnya kepada penguasaan politik, seperti yang pernah berlaku sebelum ini, namun tidak menyebut nama parti yang dimaksudkannya.

“Kita sudah habis waktu berasa kerdil kepada orang yang menumpang kita, bilik tidur kita, kita bagi dia tidur, kita tidur di ruang tamu, banyak cantik,” katanya.

Pada sidang media selepas berakhirnya muktamar itu kemudiannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata penyatuan ummah adalah usaha berterusan PAS dan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Katanya usaha penyatuan ummah itu tidak hanya akan melibatkan PN/PAS dan Barisan Nasional (BN), tetapi juga parti politik dari Sabah dan Sarawak.

“Rundingan mengenai penyatuan ummah ini bukan saja libatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi juga kerusi Parlimen.

“Jadi sudah tentulah libatkan Sabah dan Sarawak. Cumanya belum sampai masa lagi kita berbincang dengan mereka, tetapi ke arah itulah termasuk dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak, malah di Sabah juga ada Umno itu sendiri,” katanya.

Datuk Takiyuddin dalam masa sama turut menegaskan bahawa hubungan kerjasama politik PAS/PN ketika ini hanya bersama BN dan tidak melibatkan parti dari Pakatan Harapan (PH).

“Kita amat yakin bahawa hubungan antara PN dan BN tidak ada (penyertaan) pihak lain lagi.

“Setakat ini tidak ada dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan saya rasa tak mungkin,” katanya.