Parti Islam SeMalaysia (PAS) menggariskan prasyarat kemenangan menuju Pilihan Raya Umum (PRU16) ke-16 tidak lama lagi, termasuk memimpin agenda penyatuan ummah menerusi kerjasama dengan pihak yang membawa kebaikan, namun bertegas akan mempertahankan setiap kerusi termasuk negeri yang telah dimenangi dalam pilihan raya lalu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PAS pada pilihan raya lalu wajib dipertahankan, selain mengekalkan penguasaan PAS di ‘Negeri Pangkalan’ iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai SG4 (state government 4/empat kerajaan negeri).

Penegasan itu dibuat ketika PAS yang kini menerajui blok pembangkang – Perikatan Nasional (PN) – dilihat cenderung menjalin persefahaman dan kerjasama dengan parti lain terutama Umno/Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya, termasuk jangkaan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang semakin hampir.

“PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang membawa kebaikan kepada negara, tanpa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan.

“Usaha penyatuan ini bukan sekadar di peringkat nasional, bahkan turut disambut di peringkat negeri, kawasan dan cawangan PAS.

“PAS berkewajipan mengambil langkah politik yang berhikmah untuk menyatukan Melayu/Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, sebagai sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.

“PAS berpegang pada Islam dan tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam mana-mana perjanjian. PAS berjanji dengan hukum Islam dan membatalkan janji juga dengan hukum Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 4 September.

Sebelum ini, PAS/PN membentuk persefahaman dengan BN dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan menerusi pembahagian kerusi, yang menyaksikan gabungan itu menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH), blok politik pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1 Ogos lalu.

Terdahulu pada PRN Johor, 11 Julai lalu, PAS membuat kenyataan terbuka meminta ahli dan penyokongnya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PAS, sekali gus membawa kemenangan besar blok politik pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, itu.

Untuk PRN Melaka, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang turut bersama pada sidang media itu, berkata rundingan kerjasama antara BN-PN sudah berjalan, namun belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.

BN setakat ini telah menegaskan akan mempertahankan semua 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRN lalu, sementara PAS sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding bagi sekurang-kurangnya 16 kerusi.

Tambah Tan Sri Abdul Hadi, selain mempertahankan kerusi dan negeri yang dikuasai PAS, parti itu mensasarkan untuk meluaskan penguasaan, termasuk dengan menambah kerusi di Pahang, Perak dan Selangor.

“Ia sekali gus memperkukuh kerusi PAS dan PN di peringkat Parlimen, di samping melonjakkan pencapaian di Melaka yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi,” katanya.

PAS adalah parti pembangkang yang memiliki kerusi terbanyak iaitu 43 kerusi Parlimen dan 149 kerusi DUN di seluruh Malaysia.

Dalam ucapannya itu, Tan Sri Abdul Hadi juga mengarahkan jentera PAS supaya menarik seramai pengundi termasuk pengundi atas pagar, pengundi kali pertama, pengundi muda, pengundi luar dan golongan ilmuwan.

“Manakala seluruh jentera PAS hendaklah bergerak untuk menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam, dengan membuktikan kemampuan untuk menjuarai isu-isu rakyat, tadbir urus yang baik dan memberikan khidmat kebajikan,” katanya.

Dalam pada itu, harapan untuk menyaksikan kehadiran Presiden Umno yang dinanti-nantikan pada muktamar itu tidak menjadi nyata, apabila Datuk Takiyuddin memaklumkan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid tidak dapat hadir pada saat-saat akhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kehadiran Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mewakili Presiden Umno, bersama delegasinya ke muktamar itu, sebagai satu detik bersejarah dalam politik Malaysia.

“Sesungguhnya kehadiran pimpinan Umno ke Muktamar PAS ini merupakan satu lagi detik sejarah baru dalam landskap politik negara yang menzahirkan usaha gigih dan bersungguh-sungguh dalam kita menjayakan penyatuan ummah.

“Bak kata Buya Hamka (Abdul Malik Karim Amrullah – tokoh ulama, sasterawan dan sejarawan Indonesia) bahawa perdamaian antara dua bersaudara yang bertelingkah adalah kemuncak maruah iman, di mana rasa kasih dan tanggungjawab memadamkan keegoan demi meraih rahmat Allah,” katanya.

Sementara itu Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata kehadiran Umno ke Muktamar PAS kali ini adalah sebagai menghormati jemputan, selain mendukung agenda penyatuan ummah sebagaimana harapan majoriti Melayu/Islam.

“Kita mendukung apa saja agenda yang boleh memastikan harapan orang Melayu melihat dua parti terbesar ini ada permuafakatan yang baik dan paling penting, boleh memberikan satu aspirasi besar yang mahu melihat keadaan negara yang lebih stabil politiknya, harmoni dan makmur,” katanya ketika ditemui.

Dalam masa yang sama, Tan Sri Abdul Hadi turut mengesahkan bahawa wakil PAS akan menghadiri Persidangan Agung Umno 2026 di Kuala Lumpur, yang dijadualkan bermula pada 9 September ini.

Untuk rekod, PAS dan Umno pernah menjalin kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 2019 menyusuli kekalahan Umno/BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, yang menamatkan penguasaan politik Umno selama lebih enam dekad.

Namun, kerjasama itu tidak kekal lama selepas kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam MN mencetuskan pembentukan blok PN pada 2020, sekali gus mengubah landskap hubungan asal.

Selain pimpinan Umno, turut hadir pada Muktamar PAS kali ini ialah parti komponen PN antaranya, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Dr Hamzah Zainudin; Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.