Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mulakan semua projek 2024 sekarang: Anwar

Jan 19, 2024 | 4:26 PM
BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) arahkan semua kementerian supaya mulakan projek 2024 sekarang, semasa bercakap di sidang media di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya. Beliau diapit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (dua dari kanan), dengan Menteri Perhubungan Encik Fahmi Fadzil (kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) arahkan semua kementerian supaya mulakan projek 2024 sekarang, semasa bercakap di sidang media di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya. Beliau diapit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (dua dari kanan), dengan Menteri Perhubungan Encik Fahmi Fadzil (kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto BERNAMA

CYBERJAYA: Teruskan dengan semua projek baru dan jangan tunggu hingga ke penghujung suku pertama 2024. Ini adalah arahan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada semua kementerian.

Projek yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 sepatutnya sudah dimulakan, memandangkan dana untuknya telah diagihkan kepada semua kementerian, katanya.

“Salah satu isu yang kami bangkitkan adalah untuk memastikan projek yang diumumkan semasa Belanjawan (2024) tidak perlu menunggu proses biasa (menunggu) suku pertama. Mulakan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Rahat Anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini pada 18 Januari.

“Kita telah mencapai rekod pencapaian dalam penilaian 2023 bagi projek yang dilaksanakan, dan untuk 2024, kita mahu (projek) ini dilaksanakan dengan cepat, bermakna mereka (kementerian) boleh meneruskan tanpa perlu menunggu suku pertama (tamat).

“Dana telah diagihkan. Saya percaya buat kali pertama dalam sejarah Perbendaharaan, ia telah menyalurkan dana kepada pelbagai kementerian pada Januari,” katanya pada sidang media di Cyberview Resort & Spa, lapor The Star.

Rahat itu diadakan selama dua hari pada 17 dan 18 Januari dan dihadiri Datuk Anwar, 31 menterinya dan pegawai awam lain.

Jelasnya, acara itu sedikit berbeza berbanding sebelum ini, kerana anggota Kabinet telah mengumpul input bukan sahaja antara satu sama lain, tetapi juga daripada pakar tempatan dan antarabangsa.

Antara topik yang ditumpukan pada acara itu ialah ekonomi, pendidikan, perkhidmatan awam, transformasi digital, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI), katanya.

“Kami terbuka kepada semua cadangan dan kritikan, kerana kami boleh menerima hakikat bahawa sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan dan kami mesti sentiasa menaik taraf perkhidmatan kami kepada orang ramai, kerana matlamatnya adalah kesejahteraan rakyat.

“Kami juga mengetengahkan isu perpaduan nasional, kestabilan politik, kerja berpasukan dalam Kabinet dan yang paling penting, pelaksanaan dasar yang berkesan.

“Kami telah menerima banyak input daripada sektor swasta, penyelidik dan pakar. Malah pakar antarabangsa memberi kami input berharga,” tambah Datuk Anwar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg