Topik diikuti
Pergi ke BHkuMutu udara di sesetengah kawasan M’sia capai tahap ‘sangat tidak sihat’
PETALING JAYA/KUCHING: Tahap mutu udara di sesetengah kawasan di Malaysia mencapai tahap ‘sangat tidak sihat’, dengan indeks pencemaran udara setinggi 204 dicatatkan di Serian, Sarawak, setakat 3.45 petang pada 12 Ogos.
Mutu udara ‘sangat tidak sihat’ adalah apabila indeks pencemaran udara berada dalam lingkungan 201 hingga 300. Mutu udara ‘tidak sihat’ pula adalah apabila indeks tersebut berada dalam lingkungan antara 101 dengan 200.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Jabatan Alam Sekitar Malaysia, terdapat beberapa kawasan di Semenanjung yang mencatatkan muta udara tidak sihat seperti Cheras (122), Putrajaya (121) dan Shah Alam (112).
Di Sarawak pula, 11 kawasan mencatatkan mutu udara tidak sihat termasuk Kuching (177), Sri Aman (158), Miri (152) dan Sibu (135).
Enam sekolah di Tebedu, terletak di wilayah Sarawak, ditutup setelah indeks pencemaran udara melebihi paras 200 pada 12 Ogos.
Jabatan Pendidikan Sarawak berkata pembelajaran secara dalam talian akan dijalankan bagi memastikan pelajar tidak terlepas pelajaran semasa penutupan sekolah.
Sungguhpun demikian,Sarawak tidak mempunyai rancangan untuk menjalankan kegiatan pembenihan awan, sedang keadaan kini panas dan berjerebu.
Ini setelah hujan diramalkan dalam beberapa hari akan datang, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Negeri, Datuk Len Talif Salleh.
Beliau berkata terdapat kemungkinan 30 peratus hujan akan turun di beberapa daerah di Sarawak menjelang 14 Ogos atau 15 Ogos.
Sarawak mengalami jerebu yang berasal dari Kalimantan barat, dengan angin tenggara bertiup ke arah negeri ini, tambahnya.
“Kami memantau keadaan setiap jam dan sentiasa memerhatikan bacaan indeks pencemaran udara dengan teliti,” ujar beliau. – Agensi berita
