Topik diikuti
Pergi ke BHkuMyJohor Transport bantu pengguna cari perhentian terdekat, semak waktu bas tiba
Warga Singapura boleh menaiki Bas Muafakat Johor pada kadar pelancong RM30 bagi tempoh 14 hari
MyJohor Transport bantu pengguna cari perhentian terdekat, semak waktu bas tiba
JOHOR BAHRU: Penduduk Johor dan pengunjung Singapura digalakkan memuat turun aplikasi MyJohor Transport untuk mencari perhentian terdekat dan menyemak jangkaan waktu ketibaan bas sebelum keluar rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata aplikasi itu memaparkan kedudukan semasa bas daripada beberapa pengendali, termasuk Bas Muafakat Johor dan Bas.My.
Warga Singapura yang ingin menaiki Bas Muafakat Johor dikenakan kadar pelancong sebanyak RM30 ($9.40) bagi tempoh 14 hari.
“Boleh tengok agak-agak bas sampai pukul berapa,” katanya ketika menggambarkan bagaimana penumpang boleh menggunakan aplikasi itu untuk menentukan bila mereka perlu bertolak ke perhentian.
Beliau melancarkan MyJohor Transport di Hotel Opero Southkey, Johor Bahru, pada 25 November, sempena 10 tahun perkhidmatan Bas Muafakat Johor.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM31 juta dalam Belanjawan Johor 2027 untuk meneruskan perkhidmatan itu di 62 laluan di bawah kesemua 16 pihak berkuasa tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Encik Mohd Fa’iz Salehon, berkata pengguna juga boleh merujuk kepada jadual perjalanan menerusi aplikasi tersebut.
“Dan dalam itu juga kita telah hadirkan semua jadual-jadual bas yang diperlukan oleh tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Bagi penumpang yang sudah berada di perhentian, lima papan paparan maklumat ketibaan bas telah dipasang di Johor Bahru. Menurut Encik Mohd Fa’iz, 16 lagi sedang dipasang dan PAJ merancang untuk menambah 22 pada 2027.
Di Kulai, PAJ turut merintis perkhidmatan Bas Muafakat Johor mengikut permintaan. Penumpang dalam kawasan percubaan boleh menggunakan aplikasi itu untuk meminta bas mengambil mereka. PAJ akan mempertimbangkan peluasan perkhidmatan itu ke Johor Bahru dan daerah lain berdasarkan sambutan pengguna serta kesesuaian kawasan.
Menjelang pembukaan RTS Link Johor Bahru–Singapura, penumpang yang menyambung perjalanan dengan bas atau teksi juga bakal menggunakan kemudahan di Jalan Jim Quee. Menurut PAJ, Jim Quee 1 dirancang sebagai tempat menurunkan penumpang, manakala Jim Quee 2 untuk mengambil penumpang.
Encik Mohamad Fazli berkata 20 petak bas sedang dibina di Jalan Jim Quee sebagai tambahan kepada 11 petak sedia ada di JB Sentral.