Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas 3 penuntut maut: Wanita tidak mengaku salah cuba bunuh pelajar UiTM

Apr 21, 2025 | 4:22 PM
Norizan Ismail (tengah) layak dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri diperoleh dari Hospital Permai, Johor.
Norizan Ismail (tengah) layak dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri diperoleh dari Hospital Permai, Johor. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA (Selangor): Seorang pemandu wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, di Terengganu pada Oktober 2024.

Norizan Ismail, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 7.35 malam 9 Oktober 2024 di Jalan Pantai berhadapan universiti itu, mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun.

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, yang ketika itu berusia 20 tahun, cedera akibat dirempuh daripada belakang ketika menunggang motosikal bersama tiga lagi rakannya yang lain oleh tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV).

Kejadian malang itu turut menyebabkan tiga rakannya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 tahun; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 tahun; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20 tahun, maut di lokasi kejadian.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh, lapor Bernama.

Mahkamah menetapkan 20 Mei ini untuk serahan dokumen perbicaraan.

Pada 2 Mac, Norizan turut tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 kanun sama kerana melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Akmal, Ku Adib Aizad, dan Khairil Anwar.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara itu kembali bersambung setelah mahkamah sebelum ini memutuskan Norizan layak dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri yang diperoleh dari Hospital Permai, Johor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg