Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas 3 sekeluarga maut: Kenduri sambut menantu jadi majlis tahlil

May 31, 2025 | 11:18 AM
Bas Ekspres, tahlil, nahas, majlis sambut menantu
Rumah keluarga Cik Hasmah Awang di Kampung Kayu Rendang, Melor, Kota Bharu, yang sepatutnya menjadi lokasi majlis menyambut menantu, pada 1 Jun, bertukar menjadi lokasi majlis tahlil. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

KOTA BHARU: Majlis kahwin anak ketiga Cik Hasmah Awang diteruskan meskipun hanya ditemani anak bongsu dan kawan-kawannya.

Ini memandangkan anggota keluarga sibuk mengurus jenazah anak sulung Cik Hasmah, cucu dan suami cucunya, yang terlibat dalam nahas kereta dan bas ekspres di Kampung Sungai Sam, di Kuala Krai, Kelantan, pada 30 Mei.

Cik Nurul Ain Abdul Rahim, 39 tahun, maut dalam kemalangan bersama anak tunggal, Cik Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18 tahun, serta menantu, Encik Mohamad Faris Kamaludin, 24 tahun.

Nahas tersebut dilaporkan berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki keluarga tiga beranak ini dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Johor Bahru.

Kereta tersebut dipercayai gagal memotong kenderaan lain lantas bertembung dengan sebuah bas ekspres.

Kereta mangsa dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu, manakala bas dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

Mereka dikatakan membawa barangan hantaran perkahwinan yang disediakan khas untuk majlis akad nikah anak Cik Hasmah, Encik Muhd Syafiq Abdul Rahim, 24 tahun, pada 31 Mei.

Menurut Cik Hasmah kepada Berita Harian Malaysia (BHM), menyusuli kejadian itu, beliau akan terus memberi semangat kepada Encik Muhd Syafiq agar meneruskan perkahwinan di Besut, Terengganu, pada 31 Mei, walaupun dalam jiwa penuh kesedihan apabila hilang tiga ahli keluarga sekali gus dalam kemalangan berkenaan.

Tambahnya, beliau dan suami, Encik Abdul Rahim Mat Diah, 71 tahun, tidak menemani Encik Muhd Syafiq, sebaliknya berada di rumah menanti kepulangan jenazah anak sulung mereka, Cik Nurul Ain, selepas selesai bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

“Setakat ini, perbincangan awal memutuskan untuk mengebumikan jenazah Nurul Ain sahaja di sini, manakala cucu saya dan suaminya akan dibawa ke Johor.

“Bagaimanapun, sebarang keputusan lain akan dibuat sebaik keluarga dari Johor tiba kerana mereka masih dalam perjalanan ke hospital.

“Luluh hati saya kerana kehilangan anak dan cucu kesayangan sekali gus, tambahan pula Nur Atikah sangat rapat dengan saya memandangkan dia cucu sulung saya,” katanya ketika ditemui BHM di kediamannya di Kampung Kayu Rendang, Melor, pada 31 Mei.

Cik Hasmah tidak menyangka gurauan Cik Nur Atikah berkaitan kematian rupa-rupanya petanda anak dan cucunya itu akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Saya hanya ada dua cucu. Cucu kedua, Muhammad Uwais Shah Nasir, baru berusia dua tahun. Lama Nur Atiqah jadi cucu tunggal dalam keluarga, jadi arwah selalu bergurau bahawa dia cemburu dengan kehadiran cucu baru.

“Semuanya berlaku sangat pantas, sepatutnya kami gembira menyambut perkahwinan dalam keluarga, sebaliknya bertukar duka dengan kehilangan tiga ahli keluarga sekali gus,” kata Cik Hasmah lagi.

Jelasnya, majlis menyambut menantu yang sepatutnya berlangsung pada 1 Jun itu akan bertukar kepada majlis tahlil memandangkan kad jemputan sudah diedarkan dan tempahan katering juga sudah dibuat.

Pada 30 Mei, media Malaysia melaporkan, bakal pengantin, Encik Muhd Syafiq berduka apabila tiga keluarganya dalam perjalanan pulang ke kampung sempena majlis perkahwinannya maut dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, dilapor berkata siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal sebelum bertembung bas ekspres dari arah bertentangan di laluan garisan berkembar.

Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ujian air kencing terhadap pemandu bas juga negatif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg