Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas 3 sekeluarga maut: Luluh hati bapa kehilangan anak tunggal

Jun 1, 2025 | 1:23 PM
Kemalangan, nahas bas ekspres
Encik Mohd Shah Penilzain (dua dari kanan) menabur bunga di pusara anak tunggalnya, Cik Nurul Atikah Najihah, di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor Kampung Sungai Danga, pada 1 Jun. - Foto BHM

JOHOR BAHRU: Sedih dan pilu perasaan seorang ayah apabila satu-satunya anaknya yang masih muda belia meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

“Saya buat panggilan video sebelum anak dan suaminya bergerak ke Kelantan. Itu kali pertama mereka ada bersama dalam panggilan video, rupanya itu juga yang terakhir,” jelas Encik Mohd Shah Penilzain Mohamed Said, 45 tahun.

Beliau adalah bapa Cik Nurul Atikah Najihah, 18 tahun, yang maut bersama suami, Encik Muhammad Faris Kamaludin, 24 tahun, dan ibunya, Cik Nurul Ain Abdul Rahim, 39 tahun, dalam nahas bas ekspres dan Perodua Myvi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Kampung Sungai Sam, pada 30 Mei.

Sebagai bapa, pemergian anak tunggalnya itu memberi kesan mendalam kepada keluarga.

“Saya terima panggilan kejadian pada 5 petang kelmarin ketika pulang dari tempat kerja di Putrajaya.

“Saya tak tahu nak cakap apa, terus lemah... saya tak kuat. Sampai sekarang pun rasa tak kuat tapi saya reda dengan pemergiannya.

“Khamis lalu (29 Mei), saya ada hubungi anak saya dengan panggilan video, tanya bila nak bertolak ke Kelantan dan dia beritahu pada 1 pagi Jumaat (30 Mei).

“Saya pesan supaya berehat dahulu. Dia tanya sama ada saya ingat pernah membelikannya punten (makanan tradisional Jawa) kerana dia ada membeli makanan itu baru-baru ini.

“Secara kebetulan menantu sedang makan nasi dan ada bersama dalam panggilan video itu. Itulah kali terakhir kami bersama,” kata Encik Mohd Shah, ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor Kampung Sungai Danga, pada 1 Jun.

Encik Mohd Shah kerap berhubung dengan anaknya menerusi WhatsApp sepanjang perjalanan untuk mengetahui lokasi mereka.

Katanya, Cik Najihah memaklumkan awalnya Encik Faris mengikut Jalan Muadzam tetapi oleh kerana keadaan jalan yang teruk, mereka mengubah haluan menggunakan lebuh raya.

“Najihah memberitahu ketika itu mereka di Hentian Rawat dan Rehat (RNR) Seremban dan apabila saya tanya lagi selepas itu, mereka dah sampai Raub menghampiri Kuala Lipis.

“Itu kali terakhir anak menghantar mesej dan selepas itu saya hubungi terus tak dapat sehingga dimaklumkan mengenai kemalangan,” katanya lagi.

Sementara itu, bapa Encik Muhammad Faris, Encik Kamaludin Abdullah, 52 tahun, berkata anak ketiga daripada tujuh beradik itu kali pertama memandu jauh ke Kelantan.

Katanya, Encik Faris selesai bekerja pada 11.30 malam dan sejam kemudian memaklumkan kepada ibunya, Cik Rozalina Abu Bakar, 49 tahun, akan bergerak ke Kelantan.

“Tak tahu bagaimana nak gambarkan kesedihan ini tapi kami sekeluarga perlu reda,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg