JOHOR BAHRU: Projek menaik taraf Jalan Gelang Patah (J4), yang menghubungkan persimpangan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Gelang Patah dengan persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Tanjung Pelepas, mencapai kemajuan fizikal 56.2 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata laluan sepanjang lima kilometer itu sedang diperluas daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala.

Menurutnya, skop projek turut merangkumi pembinaan jambatan, jejantas pejalan kaki dan motosikal, saliran serta kemudahan jalan berkaitan.

“Saya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru dan kontraktor memperkemas penyelarasan serta memberi tumpuan kepada kerja di tapak supaya pelaksanaan projek bergerak dengan lebih lancar.

“Apabila siap nanti, laluan empat lorong ini dijangka membantu melancarkan trafik ke Kompleks CIQ Gelang Patah, di samping menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 September.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah). - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek bagi meninjau sendiri kemajuan kerja di laluan berkenaan.

Terdahulu, Encik Mohamad Fazli memaklumkan projek bernilai sekitar RM62 juta ($19 juta) itu turut melibatkan pemasangan lampu jalan serta pengalihan utiliti utama.

Laluan tersebut merupakan koridor penting yang menghubungkan kawasan perindustrian, pelabuhan dan Kompleks CIQ.

Kemajuan fizikal projek sebelum ini dilaporkan mencapai 46.3 peratus setakat 28 Februari 2026.

Dalam kenyataan terdahulu itu, beliau berkata penggunaan kaedah Geobamboo sedang dipertimbangkan bagi kerja pembinaan di kawasan tanah lembut untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.

Menurutnya, kaedah konvensional seperti prabeban boleh mengambil masa antara 12 dengan 18 bulan untuk menstabilkan tanah, manakala penggunaan Geobamboo berpotensi memendekkan tempoh tersebut kepada sekitar tiga hingga enam bulan.