Topik diikuti
Pergi ke BHkuNEA: S’pura tidak benarkan sisa binaan dieksport ke luar negara bagi pelupusan
NEA akan terus kerja rapat dengan pihak berkuasa M’sia, susulan siasatan berhubung sisa dari S’pura ditemukan di Pontian
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menegaskan bahawa Singapura tidak membenarkan sisa pembinaan dan perobohan (C&D) dieksport ke negara lain untuk tujuan pelupusan.
Dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH), NEA berkata pihaknya baru-baru ini menghubungi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.
“Dalam panggilan bersama SWCorp, NEA menegaskan bahawa Singapura tidak membenarkan sisa pembinaan dan perobohan dieksport untuk tujuan pelupusan,” katanya.
Menurut NEA, di bawah rangka kawal selia Singapura, sisa C&D perlu diproses dan diasingkan di republik itu untuk dikitar semula.
Bagaimanapun, bahan yang telah diasingkan menjadi aliran bahan seragam, seperti besi buruk yang diperoleh daripada sisa C&D, dianggap sebagai bahan kitar semula dan boleh dieksport, tertakluk kepada syarat kawal selia berkaitan.
NEA berkata SWCorp telah memberikan nama sembilan syarikat Malaysia yang kini disiasat berhubung kegiatan pelupusan haram itu.
Namun, agensi tersebut menegaskan bahawa setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mana-mana syarikat Singapura turut terlibat.
Susulan kes itu, NEA turut mengeluarkan nasihat kepada kemudahan pelupusan sisa am berlesen (GWDF) yang mengendalikan sisa C&D di Singapura bagi mengingatkan mereka mengenai keperluan peraturan yang perlu dipatuhi.
“NEA memandang serius sebarang pelupusan sisa secara haram kerana ia mencemarkan alam sekitar dan boleh menimbulkan bahaya kepada kesihatan awam.
“NEA akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Pengarah SWCorp Johor, Encik Zainal Fitri Ahmad, berkata NEA memaklumkan bahawa penghantaran sisa pembinaan dan perobohan dari Singapura ke Malaysia akan dihentikan serta-merta, sementara semakan lanjut dilakukan terhadap pihak berkaitan di Singapura.
Menurut Encik Zainal Fitri, perkara itu disampaikan menerusi perbualan telefon dengan Pengarah Kumpulan Sumber dan Kemampanan NEA, Encik Chan Chin Kai, pada 17 Ogos.
SWCorp Johor turut menyerahkan senarai sembilan syarikat yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan penghantaran sisa dari Singapura bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan lanjut daripada NEA.
Encik Zainal Fitri sebelum ini berkata kerjasama dengan NEA merupakan perkembangan positif dalam usaha memastikan isu penghantaran sisa ke Johor tidak berulang, terutama selepas penduduk mendakwa kegiatan berkenaan berlaku hampir dua tahun di Mukim Sungai Karang, Pontian.
SWCorp Johor setakat ini membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM10,000 dengan RM100,000 atau penjara antara enam bulan dengan lima tahun, atau kedua-duanya.
SWCorp turut menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan pencemaran alam sekitar sekiranya terdapat bahan lain dibuang bersama sisa pembinaan dan perobohan itu.
Encik Zainal Fitri berkata siasatan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan sebarang kegiatan pengurusan atau pelupusan sisa secara tidak sah di Johor dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
