Terdapat risiko tinggi berlakunya jerebu serius di rantau ini pada separuh kedua 2026, dengan keadaan dijangka memuncak antara Ogos dengan September berikutan kembalinya fenomena El Nino teruk yang boleh mengakibatkan cuaca menjadi lebih panas dan kering, menurut amaran yang dikeluarkan Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) pada 24 Jun.

Pusat pemikir tempatan itu mengeluarkan amaran tahap ‘merah’ yang jarang diberikan dalam laporan tahunan setebal 17 halaman, yang menandakan risiko tinggi jerebu rentas sempadan teruk yang menjejaskan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura sepanjang separuh kedua 2026.

Ini merupakan kali kedua sejak SIIA mula menerbitkan laporan tahunan jerebu pada 2019 bahawa amaran merah dikeluarkan.

Kali pertama berlaku pada 2023, yang juga merupakan tahun El Nino, apabila Singapura mengalami keadaan berjerebu selama beberapa hari pada hujung minggu pada Oktober.

El Nino merujuk kepada pemanasan lautan yang luar biasa, melebihi purata suhu permukaan laut.

Menurut SIIA yang menukil Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat, fenomena El Nino yang sedang berlaku sekarang bermula sejak Jun, dengan 63 peratus kemungkinan fenomena El Nino yang kuat akan berlaku.

“Ramalan menunjukkan musim kering yang teruk bakal berlaku, namun kita tidak seharusnya pasrah.

“Banyak langkah boleh diambil untuk mengelakkan kesan yang paling buruk serta memperkukuh daya tahan iklim, keselamatan tenaga, keselamatan makanan dan kerjasama serantau.

“Cabarannya adalah untuk memastikan amalan mampan terus diamalkan di seluruh rantaian bekalan, termasuk oleh syarikat kecil dan sederhana (SME) yang mungkin beroperasi dalam keadaan tekanan ekonomi yang lebih tinggi,” kata Pengerusi SIIA, Profesor Madya Simon Tay.

Pada masa sama, satu lagi fenomena iklim yang dikenali sebagai Indian Ocean Dipole (IOD) positif dijangka terbentuk pada Julai atau Ogos.

Fenomena IOD adalah serupa dengan El Nino, tetapi ia berkembang di kawasan khatulistiwa Lautan Hindi.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), gabungan fenomena El Nino dan kemungkinan berlakunya IOD positif boleh memanjangkan serta menjadikan musim kering di Singapura lebih teruk pada separuh kedua 2026, malah berpotensi berlanjutan sehingga Oktober.

Selain faktor cuaca, laporan itu menyatakan bahawa peningkatan risiko jerebu pada 2026 turut berpunca daripada gangguan perkapalan melalui Selat Hormuz yang telah meningkatkan tekanan kos ke atas sektor pertanian, sebahagiannya akibat kekurangan bekalan bahan api dan kenaikan harga baja.

Laporan tersebut juga mendedahkan risiko baharu yang timbul daripada peningkatan kos pengeluaran pertanian serta permintaan yang semakin tinggi terhadap bahan api biologi (biofuel).

Keadaan ini boleh meningkatkan insentif kepada sesetengah pengeluar untuk melakukan pembukaan tanah secara tidak mampan, sekali gus menambah risiko berlakunya kebakaran hutan dan jerebu.

“Gangguan di Selat Hormuz yang menyebabkan kejutan harga baja dan bahan api akan mengambil masa beberapa bulan untuk reda.

“Industri yang mempunyai aliran tunai kukuh seperti sektor kelapa sawit mampu menanggung peningkatan kos tersebut, namun pengeluar tanaman makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran berdepan kesukaran yang lebih besar.

“Krisis bahan api juga sedang meningkatkan permintaan terhadap bahan biofuel, dengan negara-negara Asia Tenggara menambah peratusan minyak sayuran yang dicampurkan ke dalam diesel yang dijual di stesen minyak.

“Trend ini dijangka berterusan walaupun perjanjian antara Amerika Syarikat dengan Iran kekal berkuat kuasa, kerana negara kini mahukan kebebasan dan jaminan keselamatan tenaga mereka sendiri,” kongsi Pengarah Bersekutu SIIA, Cik Khor Yu-Leng.