Beberapa lokasi di Johor Bahru yang dahulunya riuh dengan kehadiran warga Singapura kini lengang selepas Permit Masuk Kenderaan (VEP) dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Awam Larkin, Encik Sadam Salim, berkata sebelum ini, pelanggan dari Singapura akan datang seawal 7 pagi untuk membeli barangan segar dan bersarapan di gerai makanan.
“Kebiasaannya, mereka berada di sini sehingga 4 petang sebelum pulang semula ke Singapura. Sekarang, 12 tengah hari pun pasar masih lengang,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian besar peniaga kini hanya bergantung kepada penumpang bas dari Terminal Larkin dan pekerja tempatan di kawasan sekitar.
“Selepas pandemik, kami berharap kepada pelanggan tetap untuk datang. Tetapi kini, pelanggan tetap pun sudah berkurangan.
“Ramai daripada mereka ialah warga Singapura yang kini tidak lagi memandu ke Johor kerana VEP,” ujarnya.
Menurut beliau, hampir 90 peratus pelanggan yang berkunjung ke Pasar Larkin sebelum ini terdiri daripada warga Singapura, dan mereka biasanya datang dalam kumpulan, menyebabkan pesanan makanan dan pembelian barangan segar meningkat.
Sementara itu, pemilik pusat mencuci kenderaan, Kilat Autodetailing, Encik Pradish Kumar, 29 tahun, berkata beliau sebelum ini menerima sekurang-kurangnya empat kenderaan dari Singapura setiap hujung minggu.
Namun sejak VEP dilaksanakan, hanya satu kenderaan dari Singapura yang singgah ke premisnya.
“Perbezaan ini sangat ketara. Pelanggan dari Singapura biasanya menempah cucian terperinci dan ini memberi pulangan lebih tinggi kepada kami. Tetapi sekarang pelanggan dari sana semakin berkurangan,” kongsinya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan memperhebat kempen kesedaran mengenai VEP dengan menyalurkan maklumat yang lebih mudah difahami kepada warga Singapura.
“Boleh tegas, tetapi pada masa sama berikan sedikit kelonggaran untuk mereka membuat pendaftaran VEP.
“Ada yang kata proses pendaftaran ambil masa sampai dua minggu, jadi kita perlu berlaku adil,” mohonnya.
Pemilik Warong Tokyah, Encik Zarief Ashraf Halid, 28 tahun, pula menyifatkan kehadiran pelanggan dari seberang Tambak sebagai ‘bonus’ yang sangat penting bagi kelangsungan peniaga kecil.
Beliau turut berkongsi keperitan yang dialami sejak pelaksanaan semula VEP.
Menurutnya, jualan harian turun secara mendadak, terutama pada hari bekerja, dan hanya mencatat sedikit peningkatan pada hujung minggu.
“Kalau sebelum ini, kami masak sehingga 20 ekor ayam sehari.
“Sekarang kadang-kadang hanya 10 hingga 15 ekor, bergantung kepada jumlah pelanggan. Kami tidak mahu membazir,” katanya.
Warungnya sebelum ini menyediakan lauk dalam jumlah banyak berkonsep bufet, tetapi kini mereka lebih berhati-hati dalam penyediaan makanan.
Beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan lebih banyak pusat permohonan VEP serta memaklumkan tempoh kelulusan dengan lebih jelas.
“Kami yang menjual barang mudah rosak seperti ayam dan sayur sangat terkesan.
“Kalau VEP dilaksana tanpa sebarang notis atau penjelasan, memang ramai peniaga kecil terjejas,” katanya.
Pengusaha Dusun Durian Landak, Encik Abdul Hadi Ahmad Sani, 47 tahun, pula mendapati kebanyakan warga Singapura kini mengambil langkah menyewa kenderaan tempatan sama ada van atau bas.
“Berkemungkinan mereka ingin elak dikenakan saman, jadi mereka mengambil langkah menyewa kenderaan seperti bas dan van sahaja untuk datang ke dusun durian saya.
“Jumlah yang datang juga lebih banyak pada hari bekerja berbanding hujung minggu. Kadang-kadang dalam sehari kita boleh terima dua bas dan dua van serentak dari Singapura.
“Ada juga yang datang menggunakan kenderaan peribadi milik keluarga mereka yang menetap di Johor dan saya secara peribadi bersyukur kerana mereka terus memberikan sokongan kepada peniaga tempatan kita,” kongsi Encik Abdul Hadi.
Tambahnya, jumlah pengunjung dari Singapura dijangka berkurangan pada hujung Julai memandangkan musim durian sudah menghampiri penghujungnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tebrau Foodtruck Park, Encik Nor Ikhwan Sulong, 40 tahun, berkata kebanyakan warga Singapura kini lebih memilih untuk pergi lebih jauh sehingga ke Kuala Lumpur untuk berbelanja.
“Ada yang sanggup menaiki kapal terbang dan terus ke Kuala Lumpur semata-mata mahu elak melalui jalan di Johor.
“Meskipun begitu, masih terdapat sebilangan kumpulan warga Singapura yang telah selesai dengan urusan pendaftaran VEP mereka dan datang memberikan sokongan kepada peniaga kita.
“Peratus pelanggan tempatan dan warga Singapura di lokasi kami berniaga agak seimbang, jadi kami tidak terlalu terkesan dengan kekurangan pelanggan dari seberang Tambak, berbanding selepas waktu pandemik dahulu,” kongsinya.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor memaklumkan bahawa sebanyak 316 kenderaan asing telah dikenakan notis saman berkaitan pelaksanaan VEP dalam tempoh 1 hingga 10 Julai, melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM94,800 ($28,748).
Tinjauan BH ke pusat pendaftaran VEP di TCSens Danga Bay pula mendapati masih terdapat sekumpulan kecil warga Singapura yang menunggu giliran untuk menyelesaikan proses pendaftaran kenderaan mereka.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata semua pemilik kenderaan dari Singapura yang gagal mendaftar dan mengaktifkan VEP akan dikenakan saman sebanyak RM300 mulai 1 Julai.
Beliau menjelaskan bahawa penguatkuasaan penuh itu penting bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang oleh kenderaan asing yang memasuki negara itu.
“Pelaksanaan VEP secara berperingkat telah bermula sejak 1 Oktober 2024 melalui pendekatan nasihat dan notis peringatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Jun lalu. – REMAR NORDIN
“
“Selepas pandemik, kami berharap kepada pelanggan tetap untuk datang. Tetapi kini, pelanggan tetap pun sudah berkurangan. Ramai daripada mereka ialah warga Singapura yang kini tidak lagi memandu ke Johor kerana VEP (Permit Masuk Kenderaan).”“
“Kami yang menjual barang mudah rosak seperti ayam dan sayur sangat terkesan. Kalau VEP dilaksana tanpa sebarang notis atau penjelasan, memang ramai peniaga kecil terjejas.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg