KUALA LUMPUR: Norway telah mengesahkan pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu, Naval Strike Missile (NSM), ke Malaysia.

Tindakan itu menyusuli sekatan lebih ketat dikenakan Norway terhadap teknologi pertahanan sensitif mereka, mengambil kira landskap keselamatan sejagat yang semakin berubah.

Pengesahan berkenaan timbul ketika Putrajaya berusaha menangani kesan daripada situasi mengejut itu, yang kini mencetuskan ketidakpastian terhadap program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan pembekal pertahanan Eropah.

Akhbar New Straits Times (NST) melaporkan Kementerian Luar Negeri Norway menyatakan pembatalan itu berkait dengan peraturan kawalan eksport lebih ketat, yang kini mengehadkan teknologi pertahanan canggih buatan Norway hanya kepada sekutu dan ‘rakan paling rapat’ negara itu.

“Kementerian Luar Negeri (Norway) boleh mengesahkan lesen berkaitan eksport teknologi pertahanan tertentu ke Malaysia telah dibatalkan.

“Ini disebabkan pelaksanaan peraturan kawalan eksport Norway, dan adalah dikesali perkara ini menjejas Malaysia,” kata jurucakap kementerian itu, lapor NST.

Menurut Norway, pendekatan itu dibentuk oleh keadaan keselamatan yang berkembang di Eropah dan seluruh dunia, sekali gus mendorong kerajaan mereka memperkukuh pengawasan ke atas teknologi pertahanan yang dibangunkan dalam negara.

Bagaimanapun, Norway menegaskan mereka menghargai hubungan dua hala dengan Malaysia dan berharap kerjasama serta dialog membina antara kedua-dua negara akan diteruskan.

Kenyataan Kementerian Luar Negeri Norway itu menyokong penilaian suram Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengenai situasi terbabit.

Datuk Mohamed Khaled memaklumkan hingga kini, tiada petunjuk positif bahawa kerajaan Norway akan menarik balik keputusan berkenaan.

“Setakat ini negatif,” katanya apabila ditanya sama ada terdapat petanda awal Malaysia masih akan menerima peluru berpandu tersebut seperti yang tertera dalam kontrak.

Datuk Mohamed Khaled turut ditanya mengenai bayaran balik jumlah yang sudah dibayar kepada pemaju sistem NSM, Kongsberg Defence and Aerospace (KDA), sekiranya penghantaran tidak dapat diteruskan.

Beliau menjelaskan petunjuk pertama mengenai masalah perolehan NSM muncul apabila penghantaran tidak dipenuhi pada Mac lalu.

Dalam sidang media sebelum ini, Datuk Mohamed Khaled memaklumkan kementeriannya sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai skop penuh tindakan undang-undang terhadap KDA.

Langkah itu diambil kerana kerajaan sudah membayar hampir 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak, berjumlah lebih RM500 juta ($161.7 juta).

Menurutnya lagi, pihaknya kini sedang meneroka alternatif bagi sistem NSM dengan jawatankuasa berasingan sedang meneliti perkara tersebut.

Sebelum ini, Datuk Mohamed Khaled menyatakan beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari Norway di Singapura pada akhir Mei ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut Norway menyekat lesen eksport NSM ke Malaysia.

Pertemuan itu, katanya, turut digunakan bagi menyuarakan rasa kecewa dan terkejut Malaysia terhadap pembatalan penghantaran itu, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac.

Pada 14 Mei, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah menyampaikan “bantahan keras” Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Encik Jonas Gahr Store, berhubung keputusan membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM dan sistem pelancar berkaitan.

Datuk Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai “sepihak dan tidak boleh diterima” serta memberi amaran ia akan membawa “akibat buruk” terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan LCS.

Beliau juga mempersoalkan kebolehpercayaan pembekal pertahanan Eropah sekiranya kontrak pertahanan yang telah ditandatangani boleh ditarik balik secara sepihak.