Malaysia dikejutkan dengan kejadian serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang baru berusia 12 tahun, diheret dan dicucuk dengan jarum suntikan.
Ia disifatkan sebagai jenayah paling kejam dalam sejarah politik negara itu kerana menyasarkan kanak-kanak sebagai bahan ugutan.
Kejadian yang berlaku sekitar 1.45 petang, 13 Ogos, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya itu mencetuskan kemarahan merentasi garis politik, dengan pelbagai parti menggesa pihak berkuasa supaya bertindak segera membawa pelaku ke muka pengadilan.
Mereka menegaskan bahawa keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, tidak wajar dijadikan bahan ugutan dalam perbezaan politik.
Serangan itu meninggalkan kesan mendalam, bukan saja kepada keluarga Datuk Rafizi, bahkan juga kepada landskap politik negara itu.
Ramai pihak melihatnya sebagai titik hitam yang memerlukan tindak balas tegas bagi mengelak ia berulang.
Kejadian serangan tidak hanya terhenti di situ, apabila isteri kepada mantan Menteri Ekonomi itu turut menerima ugutan dengan mesej berbunyi ‘diam, andai teruskan, Aids,’ bersama emoji picagari, yang diterima pada 1.12 pagi dan sekali lagi pada 11.02 pagi, 14 Ogos.
Siasatan dan pemeriksaan kini dilakukan bagi memastikan antara kemungkinan bahan yang disuntik ialah racun, dadah, jangkitan virus seperti hepatitis atau HIV, atau mungkin picagari kosong.
Ancaman serius sepanjang 15 tahun kerjaya politiknya itu diyakini Datuk Rafizi sebagai serangan terancang bertujuan menutup mulutnya sebagai ahli politik, terutama berkaitan satu skandal yang sedang disiasatnya.
Walaupun terkesan dengan kejadian menimpa keluarganya, Datuk Rafizi, menegaskan tidak akan mengubah pendirian dalam menunaikan amanah sebagai ahli politik.
Ia termasuk untuk mendedahkan kebenaran dan membongkar salah laku, sebagaimana yang pernah dilakukannya dalam banyak kes berprofil tinggi sebelum ini.
Antara pendedahan yang pernah menggoncang politik tanah air termasuk skandal projek ternakan lembu, National Feedlot Corporation (NFC); penyelewengan dana 1MDB dan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Dalam serangan kali ini, beliau tidak menolak pertemuannya dengan kumpulan pemberi maklumat satu skandal membabitkan individu tertentu baru-baru ini sebagai pencetus ancaman yang diterimanya.
Beliau tidak menamakan individu yang terbabit, namun pada 25 Julai, Datuk Rafizi dilaporkan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar memulakan siasatan terhadap mantan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Dakwanya ia susulan terdapat dakwaan sebuah syarikat dikaitkan dengan Datuk Farhash dikaitkan dengan skandal perlombongan arang batu di Sabah.
Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan reaksi Datuk Farhash yang menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan serangan terhadap anak Datuk Rafizi dan menganggap tuduhan itu sebagai gila.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Projek Saya Anak Malaysia (Sama) dalam satu kenyataan berkata serangan terhadap anak pemimpin politik itu adalah peningkatan berbahaya dalam taktik intimidasi politik.
“Ini sama sekali tidak boleh dibiarkan. Setiap warganegara dan institusi yang peduli akan masa depan demokrasi negara mesti bangkit mengecam dengan lantang tindakan biadab ini,” katanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihak polis memberi kawalan keselamatan terhadap keluarga Datuk Rafizi, dan siasatan kes sedang giat dijalankan bagi mengesan pelaku termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, Datuk Rafizi mendedahkan dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup keseluruhan muka melakukan serangan ketika anak dan isterinya sedang memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu.
Anaknya dilaporkan dalam keadaan stabil, namun trauma dan telah melakukan ujian darah untuk memastikan sekiranya ada cecair yang disuntik ke dalam badannya dalam kejadian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg