Topik diikuti
Pergi ke BHkuNostalgia zaman kecil tarik warga S’pura ke pasar pengumpul di JB
Nostalgia zaman kecil tarik warga S’pura ke pasar pengumpul di JB
Generasi yang membesar pada era 1980-an, 1990-an dan awal 2000-an, berpeluang cari semula permainan idaman ketika kecil, tetapi tidak mampu dibeli zaman itu
Nostalgia zaman kecil tarik warga S’pura ke pasar pengumpul di JB
Bagi sebahagian pengumpul permainan lama, kunjungan ke pasar pengumpul bukan sekadar untuk membeli barang perhiasan atau menambah koleksi, bahkan juga untuk menebus kembali kenangan zaman kecil yang pernah terlepas daripada genggaman.
Itulah antara daya tarikan utama yang membawa ramai warga Singapura ke Komtar JBCC sempena JB Collectors Market, yang berlangsung dari 28 hingga 31 Mei.
Di sana, pelbagai permainan lama, patung watak kartun, kereta kecil, cakera padat, piring hitam dan pakaian lama dijual di bawah satu bumbung.
Bagi warga Singapura yang membesar pada era 1980-an, 1990-an dan awal 2000-an, pasar itu membuka ruang mencari semula permainan yang pernah diidamkan ketika kecil, tetapi tidak mampu dimiliki ketika itu.
Ada yang datang untuk memburu barangan Power Rangers, Star Wars, Marvel, Hot Wheels, Pokémon, One Piece, Naruto, Gundam, Macross, Toy Story, Cars, Thunderbirds dan pelbagai lagi barangan lama yang semakin sukar ditemui di Singapura.
Tebus kenangan lalu
Encik Amsyar Khalid Amat Samsuri, 26 tahun, dari Bukit Batok berkata, beliau datang bersama isterinya, Cik Farzana Iman Abdul Razak, 25 tahun, selepas mendapat tahu mengenai acara itu menerusi Instagram.
“Saya sebenarnya mencari sesuatu yang mengingatkan saya kepada zaman kecil saya, seperti barangan Power Rangers dan Megazord. Saya juga mencari sesuatu yang comel untuk rumah kami pada masa depan.
“Semasa kecil, saya tidak mampu membeli permainan seperti itu. Sekarang, apabila sudah bekerja dan mempunyai wang sendiri, saya boleh membelinya untuk diri saya,” kata Encik Amsyar, yang bertugas sebagai kakitangan pemerintah.
Menurut beliau, minat mengumpul barangan itu mula berputik sejak kira-kira dua tahun lalu (2024), dengan pembelian termahal setakat ini mencecah sekitar $150.
Encik Amsyar berkata suasana pasar pengumpul di Johor Bahru juga memberi pengalaman berbeza berbanding Singapura, terutama dari segi pilihan barangan dan harga.
Seorang lagi pengunjung dari Sengkang, Encik Huzhairi Azman, 32 tahun, berkata beliau mula mengumpul kereta mainan bersaiz besar sebelum beralih ke kereta kecil kerana lebih mudah disimpan.
“Saya mula dengan kereta bersaiz besar, tetapi ia mengambil banyak ruang. Jadi saya beralih kepada kereta kecil kerana lebih menjimatkan ruang dan harganya juga lebih berpatutan.
“Selepas itu, saya mula mengumpul mainan seperti boneka Funko dan kini baru mula mengumpul kad,” kata Encik Huzhairi, seorang pengadil bola sepak.
Beliau berkata minat itu turut membawanya ke beberapa pasar pengumpul di Kuala Lumpur dan Jakarta.
“Saya rasa koleksi saya sudah cukup banyak sampai boleh buka kedai, tetapi buat masa ini belum lagi. Mungkin satu hari nanti, insya-Allah,” katanya.
Bagi Encik Ahmad Syafiq Muhd Saleh, 31 tahun, dari Toa Payoh, pasar pengumpul di Johor Bahru membuka peluang mendapatkan barangan yang tidak mudah ditemui di Singapura.
“Ada barang yang tidak dijual di Singapura. Di sini, pilihannya lebih banyak dan harganya juga mungkin lebih murah sedikit.
“Dulu, apabila masih kecil, kadang-kadang hendak beli tetapi ibu tidak beri.
“Sekarang apabila sudah dewasa dan bekerja, saya mampu membelinya sendiri,” kata Encik Ahmad Syafiq, yang bekerja dalam bidang jualan runcit.
Beliau menambah dirinya lebih gemar mengumpul kereta kecil jenama, Hot Wheels dan Matchbox, kerana ia sesuai dijadikan hobi tanpa membebankan perbelanjaan harian.
“Bagi saya, ini sekadar hobi. Selagi masih dalam kemampuan dan tidak mengganggu kerja, saya rasa tidak salah,” katanya.
Barangan nostalgia jadi rebutan
Sementara itu, Pengasas JB Collectors Market, Encik Mohd Romaizi Muhamad Mustafa, 41 tahun, berkata acara itu memasuki tahun ke-10 penganjurannya dan edisi di Komtar JBCC kali ini menyasarkan sekitar 30,000 pengunjung sepanjang empat hari.
Menurut beliau, sambutan pada hujung minggu biasanya lebih tinggi, dengan anggaran antara 8,000 dengan 10,000 pengunjung, manakala hari biasa mencatat sekitar 5,000 pengunjung.
“Secara umumnya, ada dua jenis pengunjung. Ada yang benar-benar tegar memburu barangan jarang ditemui, dan ada pula yang datang untuk membeli permainan, pakaian lama atau sekadar melihat-lihat.
“Pengumpul tegar biasanya datang pada hari pertama atau kedua kerana mereka mahu mengelakkan kesesakan hujung minggu dan mahu mendapatkan barang yang masih baru dibawa oleh peniaga,” kata Encik Mohd Romaizi.
Beliau berkata penganjuran di Johor Bahru memberi kelebihan besar kepada peniaga kerana kedudukannya yang dekat dengan Singapura.
“Ini memberi kelebihan kepada peniaga kerana mereka boleh mencatat jualan lebih baik. Ada peniaga tertentu yang mampu membuat jualan lebih RM20,000 ($6,440), bergantung pada barang yang dibawa,” katanya.
Encik Mohd Romaizi berkata edisi kali ini menghimpunkan lebih 70 peniaga, termasuk yang menawarkan permainan lama dari era 1970-an dan 1980-an, barangan budaya popular, pakaian lama serta barangan kecil untuk pengumpul.
Antara peniaga yang menarik perhatian pengunjung ialah pemilik Izwan Penyelamat Khazanah Purba dari Melaka, Encik Khairil Izwan Mahbob, 45 tahun, yang membawa pelbagai permainan lama termasuk Dragon Ball, Macross, Mospeada, Toy Story, Cars, kenderaan tentera, permainan tin dan patung lembut.
“Biasanya orang mencari barang yang berkait dengan filem atau kartun yang pernah mereka tonton semasa kecil. Mereka yang membesar pada era 1990-an akan mencari Ninja Turtles, Macross atau Mospeada.
“Bagi generasi lebih muda pula, Toy Story dan Cars antara yang sering dicari. Star Wars pula diminati sepanjang masa, tidak kira usia,” katanya.
Menurut Encik Khairil, harga barangan yang dijualnya bermula sekitar RM10 dan boleh mencecah RM1,800 bagi barang tertentu seperti Macross.
“Macross mahal kerana ia antara animasi Jepun yang dikenali di Malaysia pada 1990-an, walaupun asalnya sudah wujud lebih awal.
“Apabila orang yang membesar dengan kartun itu sudah dewasa, mereka akan mencarinya semula,” katanya.
Pemilik Spin Circle Record, Encik Jazaidi Jamal, 54 tahun, pula membawa cakera padat, kaset dan piring hitam bagi memenuhi permintaan pengumpul bahan muzik fizikal.
Beliau berkata minat terhadap bahan muzik fizikal masih hidup meskipun ramai kini mendengar lagu menerusi telefon bimbit dan wadah dalam talian.
“Mungkin mereka terpengaruh dengan ibu bapa yang mempunyai koleksi lama.
“Bagi mereka, bahan fizikal bukan sekadar untuk didengar, tetapi juga untuk dilihat, seperti kulit album, sisipan dan poster di dalamnya,” katanya.
Encik Jazaidi berkata antara barangan jarang ditemui dalam koleksinya termasuk piring hitam keluaran terhad dan album lama yang kini sukar dijual semula di pasaran.
“Ada album yang keluar sekejap sahaja sebelum ditarik balik kerana kulitnya menimbulkan kontroversi. Barang seperti itu memang jarang ditemui dan boleh bernilai lebih RM1,000,” katanya.
Warga Singapura pelanggan utama
Seorang lagi peniaga, Encik Mohd Faizul Ali, 41 tahun, pemilik Faizul Junior, berkata sekitar 70 peratus pelanggannya terdiri daripada warga Singapura.
Beliau berkata kebanyakan pelanggannya dari Singapura cenderung mencari permainan lama dari Amerika Syarikat, berbanding pelanggan Malaysia yang lebih banyak meminati barangan animasi Jepun moden seperti Dragon Ball.
“Pelanggan saya bercampur, ada dari Singapura, Malaysia dan Indonesia. Tetapi kalau hendak dianggarkan, kira-kira 70 peratus pelanggan saya dari Singapura.
“Saya memang banyak mengumpul dan menjual barangan lama dari luar negara, terutama dari Britain dan Amerika Syarikat. Kalau datang ke reruai saya, kebanyakannya permainan lama yang jarang dilihat sekarang,” katanya.
Menurut Encik Mohd Faizul, ada permainan lama seperti Dino-Riders dan Starcom, yang boleh dijual pada harga ribuan ringgit bergantung pada set dan keadaannya.
“Saya pernah menjual barang kepada pelanggan dengan harga lebih RM20,000.
“Bagi pengumpul, nilai barang lama bukan hanya pada harga, bahkan juga pada kenangan dan kesukaran untuk mencarinya,” katanya.
Pemilik Viva Bundle dari Melaka, Encik Mohd Fathi Syazwan Nordin, 35 tahun, yang mengusahakan perniagaan bersama isterinya, Cik Nur Sa’adah Mohd Naeim, 35 tahun, berkata kira-kira 90 peratus pelanggannya di acara itu ialah warga Singapura.
Beliau membawa pelbagai barangan lama dari era 1980-an, termasuk permainan Jepun, kad Pokémon, One Piece, Yu-Gi-Oh!, Tamiya, Godzilla, alat kawalan jauh, permainan Nintendo, Digimon, Tamagotchi serta watak-watak Mario dan Pokémon.
“Saya memang datang khas untuk acara di Johor Bahru. Saya tidak menyertai banyak acara lain kerana di sini, pelanggan Singapura sangat kuat menyokong.
“Boleh dikatakan 90 peratus pelanggan saya ialah warga Singapura. Setiap kali berniaga empat hari, jualan saya tidak pernah kurang daripada lima angka,” katanya.
Menurut Encik Mohd Fathi, antara barangan yang cepat mendapat perhatian warga Singapura ialah Monchhichi, iaitu permainan lama dari Jepun yang masih mempunyai pengikut tersendiri.
“Barang pertama yang dicari pelanggan di gerai saya biasanya Monchhichi. Saya pun sukar hendak jelaskan mengapa ia begitu diminati, tetapi memang ia cepat terjual.
“Ada satu Monchhichi berharga RM250 yang terus dibeli pelanggan, dan permainan Nintendo pula terjual pada harga RM350 tanpa tawar-menawar,” katanya.
Bagi ramai pengunjung dari Singapura, JB Collectors Market, bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi ruang menghidupkan semula kenangan yang pernah membentuk zaman kecil mereka.
Di sebalik rak-rak yang dipenuhi permainan lama, piring hitam dan barangan budaya popular, pasar itu menjadi jambatan antara kenangan, minat dan kemampuan dewasa, sesuatu yang menjadikan Johor Bahru terus menarik bagi pengumpul dari seberang Tambak.
