Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan warga S’pura buat korban di Johor rancak walau harga kambing naik
Permintaan warga S’pura buat korban di Johor rancak walau harga kambing naik
Peluang pilih dan sembelih sendiri kambing, pengalaman suasana ladang tarik pelanggan
Permintaan warga S’pura buat korban di Johor rancak walau harga kambing naik
Meskipun harga kambing import meningkat sehingga 30 peratus pada 2026, permintaan warga Singapura untuk melaksanakan ibadah korban di Johor terus rancak.
Ini didorong oleh peluang melihat sendiri proses penyembelihan serta pengalaman membawa keluarga mendekati suasana ibadah yang sukar diperoleh di Singapura.
Harga naik 30 peratus
Pengarah Osman Goat Farm di Kangkar Tebrau, Encik Osman Cheya Kutty, berkata kenaikan harga berlaku akibat peningkatan kos pengangkutan dan harga kambing import dari beberapa negara pembekal utama seperti Thailand, Myanmar dan Australia.
“Kalau sebelum ini kambing dijual sekitar RM1,000 ($322), sekarang harganya mencecah RM1,300. Memang naik hampir 30 peratus sebab kos minyak dan harga import meningkat.
“Mula-mula kambing dari Thailand naik harga, kemudian Myanmar dan Australia juga mengalami kenaikan,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di ladangnya.
Bagaimanapun, beliau berkata sambutan pelanggan masih menggalakkan walaupun terdapat sedikit pengurangan jualan berbanding 2025.
“Kalau nak kata jualan jatuh banyak, tidak juga. Memang ada kurang sedikit, tetapi pelanggan dari Singapura masih ramai datang.
“Dalam tempoh enam hari sahaja, kita sudah jual lebih 1,100 ekor dan dijangka boleh mencecah antara 1,500 dengan 1,600 ekor menjelang Aidiladha,” katanya.
Menurut Encik Osman, kira-kira 35 hingga 40 peratus pelanggan ladangnya terdiri daripada warga Singapura yang sanggup menyeberang Tambak Johor untuk memilih sendiri haiwan korban mereka.
“Kalau kita jual 1,000 ekor, sekitar 350 hingga 400 ekor dibeli pelanggan Singapura. Mereka memang pelanggan tetap setiap tahun.
“Walaupun harga naik sedikit, sambutan masih baik. Contohnya kambing yang dulu RM1,400 kini dijual sekitar RM1,700,” katanya.
Menurut beliau, pelanggan Singapura lazimnya memilih biri-biri import daripada baka seperti Merino, Damara dan Santa Ines, kerana mutu daging serta saiz haiwan yang lebih besar.
“Kebanyakan pelanggan Singapura lebih suka pilih biri-biri. Harga biasa sekitar RM1,400 hingga RM1,500 seekor,” katanya.
Peluang lihat sendiri proses sembelih
Encik Osman berkata antara faktor utama ladangnya menjadi pilihan ialah sistem pengurusan yang tersusun, kawasan penyembelihan yang bersih serta peluang diberikan kepada pelanggan untuk melihat sendiri proses korban dijalankan.
“Kita mula susun operasi secara lebih teratur sejak tempoh Covid-19 lagi.
“Sekarang satu pembelian hanya dibenarkan tiga orang masuk supaya kawasan tidak sesak.
“Orang Singapura suka datang sini sebab mereka boleh tengok sendiri kambing yang hendak disembelih.
“Kalau tidak sibuk, kita juga benarkan mereka sembelih sendiri dan kita ajar caranya,” katanya.
Menurutnya, pengalaman menyembelih sendiri haiwan korban memberi kepuasan tersendiri kepada pelanggan terutama kanak-kanak dan golongan muda.
“Mereka rasa seronok sebab dapat pegang sendiri haiwan itu dan belajar proses korban. Ada yang pertama kali cuba sendiri,” katanya.
Ladangnya turut mempunyai rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor selain menjalani audit antarabangsa bagi memastikan mutu kebersihan sentiasa terpelihara.
“Kita ada dua ladang. Satu di Kulai sebagai tempat simpanan kambing sebelum dibawa ke pusat jualan di Kangkar Tebrau.
“Kita tidak terus jual kambing yang baru tiba dari luar negara. Kita bela dan pastikan haiwan sihat selama tiga hingga empat bulan sebelum dijual,” katanya.
Selain Osman Goat Farm, Aliyah Rizq Farm di Bandar Penawar turut menyaksikan sambutan menggalakkan daripada pelanggan Singapura yang mahu melaksanakan ibadah korban secara lebih dekat dan terbuka.
Ketua Pegawai Komersil Aliyah Rizq Farm, Dr Eusniati Eusoff, berkata ladangnya tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga sedunia kerana menggunakan ternakan serta sumber makanan sendiri.
“Kita tidak terlalu bergantung kepada pembekal luar kerana kambing dan makanan ternakan diusahakan sendiri. Jadi konflik luar tidak begitu memberi kesan kepada harga kami,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan sekitar 250 hingga 300 haiwan korban bagi 2026 dengan penyertaan pelanggan dari pelbagai negara Asean.
“Tahun ini (2026) kita juga cuba mencatat rekod Asean membabitkan penyembelihan sekitar 4,500 ekor kambing dengan penyertaan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan negara lain,” katanya.
Menurut beliau, ramai warga Singapura memilih melaksanakan korban di Johor kerana mahu menikmati pengalaman lebih dekat dengan suasana ladang dan masjid.
“Mereka biasanya datang sehari lebih awal atau pada hujung minggu.
“Ada yang datang untuk menikmati suasana ladang, menaiki kenderaan lasak dan melihat sendiri proses korban,” katanya.
Pengalaman ibadah korban di Johor
Sementara itu, seorang pelanggan dari Singapura, Encik Umar Faruq Mohd Ali, 38 tahun, pemandu Grab, berkata beliau memilih Johor kerana harga lebih berpatutan, selain boleh memilih sendiri kambing yang mahu dikorbankan.
“Kawan-kawan saya memang selalu datang sini. Saya rasa bagus sebab di sini lebih murah dan kita boleh pilih sendiri kambing yang kita mahu.
“Kalau di Singapura, tempahan cepat penuh dan kita tidak dapat tengok sendiri keadaan kambing itu,” katanya.
Beliau berkata lawatan itu juga memberi peluang kepadanya memahami proses korban dengan lebih dekat.
“Saya mahu lihat sendiri bagaimana proses korban dijalankan.
“Hari ini saya datang pilih seekor kambing, manakala dua lagi kawan saya juga tempah seekor seorang,” katanya.
Seorang lagi pelanggan dari Pasir Ris, Encik Azman Ahmad, 51 tahun, teknisyen, berkata beliau mahu membawa anak-anaknya melihat sendiri proses penyembelihan yang semakin sukar dilihat di Singapura.
“Saya selama ini cari tempat yang membolehkan kami tengok keseluruhan proses korban secara langsung. Di Singapura susah nak nampak semua ini.
“Budak-budak sekarang ramai tidak pernah tengok proses penyembelihan, jadi saya mahu mereka faham sendiri bagaimana ibadah korban dilakukan,” katanya.
Beliau berkata harga bukan faktor utama kerana yang lebih penting adalah niat melaksanakan ibadah korban dan memilih haiwan yang sihat.
“Harga bagi saya masih berpatutan. Yang penting kambing itu sihat dan memenuhi syarat korban,” katanya.
Bagi seorang lagi warga Singapura, Encik Mohammad Amiruzi Ismail, 49 tahun, yang bekerja sendiri, menyifatkan pengalaman melihat sendiri haiwan korban di hadapan mata menjadi sebab utama beliau memilih Johor bagi melaksanakan korban pada 2026 berbanding luar negara.
“Sebelum ini, saya pernah buat korban di Indonesia dan Afrika, tetapi tahun ini (2026) saya mahu tengok sendiri kambing itu depan mata.
“Kami jumpa ladang ini melalui Instagram dan bila datang tengok sendiri, semua kambing nampak sihat dan terjaga,” katanya.
Beliau berkata kenaikan harga sedikit tidak menjejas perancangan keluarganya kerana kos korban memang sudah disediakan lebih awal setiap tahun.
“Memang harga naik sedikit, tetapi semua urusan dan khidmat sudah disediakan. Jadi kami tidak fikir sangat soal harga.
“Yang penting niat ibadah korban itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Bantu golongan memerlukan
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif, Erth Al-Mustafa Foundation, Encik Imran Angullia Al-Hafidz, berkata lebih 1,000 keluarga asnaf di Johor dan Kuala Lumpur dijangka menerima agihan daging korban menerusi, Program Pondok Asnaf Korban, anjuran Erth Al-Mustafa Foundation sempena Aidiladha 2026.
Setiap tahun, pihaknya mengumpulkan daging korban yang diterima daripada warga Singapura yang melaksanakan ibadah korban di Johor sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Tahun ini (2026), kita kumpul daging korban dan kemudian kita agihkan kepada orang miskin.
“Kita ada Pondok Asnaf Korban dan penerima terdiri daripada keluarga di Johor serta Kuala Lumpur,” katanya.
Encik Imran Angullia berkata kebanyakan peserta korban dari Singapura akan menyerahkan sebahagian daging korban kepada pihak yayasan untuk diagihkan kepada asnaf.
Menurutnya, secara kebiasaan peserta akan menyerahkan satu pertiga bahagian korban, namun ada juga yang memberikan sehingga separuh atau lebih bergantung kepada kemampuan masing-masing.
“Biasanya mereka beri satu pertiga. Ada yang beri separuh dan ada juga yang beri lebih untuk diagihkan kepada golongan miskin,” katanya.
“
“Saya rasa bagus sebab di sini lebih murah dan kita boleh pilih sendiri kambing yang kita mahu. Kalau di Singapura, tempahan cepat penuh dan kita tidak dapat tengok sendiri keadaan kambing itu... Saya mahu lihat sendiri bagaimana proses korban dijalankan.”“
“Saya selama ini cari tempat yang membolehkan kami tengok keseluruhan proses korban secara langsung. Di Singapura susah nak nampak semua ini… Harga bagi saya masih berpatutan. Yang penting kambing itu sihat dan memenuhi syarat korban.”“
“Sebelum ini saya pernah buat korban di Indonesia dan Afrika, tetapi tahun ini (2026) saya mahu tengok sendiri kambing itu depan mata… Memang harga naik sedikit, tetapi semua urusan dan khidmat sudah disediakan. Jadi kami tidak fikir sangat soal harga.”