JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mencadangkan Asean mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani jerebu rentas sempadan secara bersama susulan kesannya terhadap kesihatan masyarakat dan kualiti udara di rantau ini.

Beliau berkata pencemaran udara yang menjejas negara jiran, termasuk Malaysia, memerlukan kerjasama serantau lebih erat.

“Atas sebab itu, saya berpandangan Asean perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi menangani krisis ini secara kolektif,” katanya dalam kenyataan pada 7 Oktober.

Cadangan itu dikemukakan selepas beliau menerima kunjungan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Encik Sigit Suryantoro Widiyanto, bagi membincangkan keadaan jerebu rentas sempadan yang turut menjejas Johor.

Datuk Onn Hafiz berkata beliau menyampaikan kebimbangan kerajaan negeri mengenai kesan jerebu terhadap kesihatan masyarakat dan kualiti udara di beberapa kawasan, serta berharap usaha menangani puncanya dipergiatkan.

“Dalam perkara ini, pendekatan kita bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari jalan penyelesaian bersama kerana kesannya sudah melangkaui sempadan sesebuah negara,” katanya.

Menurut beliau, negara anggota Asean yang mempunyai kepakaran, aset dan keupayaan boleh menghulurkan bantuan mengikut keperluan, melalui penyelarasan serta persetujuan bersama.

Kerjasama itu, katanya, dapat mempercepat dan meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan, pemantauan serta tindak balas demi kesejahteraan masyarakat di seluruh rantau.

Beliau berharap cadangan berkenaan dipertimbangkan oleh pemimpin negara anggota Asean supaya keadaan dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Semoga cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan negara Asean bagi membantu memulihkan keadaan secepat mungkin dan memastikan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam persekitaran yang lebih selamat dan sihat,” katanya.

Sementara itu, lapan stesen pemantauan udara di Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, antara 162 dengan 187, setakat 10 pagi pada 8 Oktober.

Segamat merekodkan bacaan tertinggi di negeri itu, iaitu 187, diikuti Kluang (180), Pasir Gudang (179), Larkin (177) dan Tangkak (172).

Pengerang dan Kota Tinggi masing-masing mencatatkan bacaan 164, manakala Batu Pahat merekodkan 162.