Topik diikuti
Pergi ke BHkuOnn Hafiz gesa rujuk isu tahanan rumah Najib kepada Anwar
Segala pertanyaan tentang hukuman tahanan rumah Najib harus diaju kepada Perdana Menteri dan pihak berkuasa, jangan libatkan Istana dalam pertikaian politik
Onn Hafiz gesa rujuk isu tahanan rumah Najib kepada Anwar
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menggesa pihak yang memerlukan penjelasan tentang pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Dalam kenyataan pada 12 November, beliau menolak saranan mantan Ahli Parlimen Damansara, Encik Tony Pua, supaya pertanyaan mengenai tahanan rumah Datuk Najib diajukan kepada Istana.
Menurutnya, saranan itu berisiko mengheret institusi diraja ke dalam pertikaian politik.
“Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak yang bertanggungjawab. Jangan pula Istana dijadikan sasaran pertikaian politik,” kata Datuk Onn Hafiz.
Beliau merujuk kepada penjelasan Datuk Anwar di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 mengenai peranannya membawa permohonan pengampunan terdahulu untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“Perdana Menteri ketika itu sendiri yang mengatakan bahawa beliau yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda. Pemimpin utama mereka sendiri yang bawa ke Lembaga Pengampunan.
“Inilah perangai sebenar mereka dan ini bukan kali pertama Encik Pua dan konco-konco Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencetuskan hasutan dan kontroversi melibatkan institusi diraja.
“Kebiadaban dan penderhakaan kepada Raja tidak boleh dinormalisasikan,” katanya sambil memaklumkan bahawa kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam catatan Facebook pada 11 November, Encik Pua berkata beberapa wartawan menghubunginya untuk bertanya tentang usaha Malaysia membanteras rasuah menyusuli tahanan rumah Datuk Najib.
Encik Pua berkata Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menjelaskan bahawa Peguam Negara dan menteri yang mewakili kerajaan sudah menyampaikan pandangan mereka kepada baginda.
Oleh sebab keputusan memberikan pengampunan merupakan hak prerogatif baginda, beliau menyarankan pertanyaan diajukan kepada Istana.
Secara berasingan, Badan Peguam Malaysia memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar prosiding dan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan berhubung aturan tahanan rumah pada 18 September.
Badan itu berhujah bahawa aturan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak mempunyai asas undang-undang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu, pula mencadangkan mekanisme undang-undang yang membolehkan banduan menjalani separuh hukuman di penjara dan bakinya di rumah.
Beliau berkata gaji menterinya sebanyak RM11,900 ($3,736) sebulan akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan kesaksamaan di sisi undang-undang sehingga Parlimen dibubarkan pada penggal ini.
Ketua Penerangan Umno Johor, Encik Md Israk Abdullah, turut menyokong pendirian Datuk Onn Hafiz. Menurutnya, Mahkamah Tinggi pada 10 November memerintahkan Datuk Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan di rumah.
Beliau berkata petisyen Datuk Najib telah dipertimbangkan oleh lembaga yang turut dianggotai Peguam Negara dan menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya pemimpin politik wajar mendapatkan penjelasan tentang pelaksanaan perintah tersebut melalui saluran kerajaan.
“Jika penjelasan lanjut diperlukan, Kerajaan Persekutuan wajar menjawabnya secara terus,” kata Encik Md Israk.